by Oh! Semput
KOTA KINABALU: Sabah dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan ekonominya pada kadar lebih sederhana iaitu 4.0 sehingga 4.5 peratus tahun depan berikutan cabaran ekonomi global.
Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangannya, Datuk Seri Musa Aman berkata Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.0 peratus pada tahun lepas berbanding 5.0 peratus dicatat negara, sekaligus menjadikan negeri itu sebagai ekonomi paling pesat berkembang di Malaysia.
“Bagi tahun depan, ekonomi Sabah dijangka akan dipacu oleh kepesatan pertumbuhan sektor pelancongan serta aktiviti eksport, pelaburan domestik dan perbelanjaan awam,” katanya pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Ke-23, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Musa yang juga Pengerusi SEDIA berkata bagi tempoh sembilan pertama tahun ini, bilangan pelancong China meningkat sebanyak 46.3 peratus, Korea Selatan (45.2 peratus) dan Taiwan (26.8 peratus) manakala angka pelancong Australia dan United Kingdom juga menggalakkan.
Sektor itu juga secara amnya menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila ketibaan pelancong antarabangsa meningkat 14.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2016 berbanding tempoh sama, tahun lepas.
“Cadangan (Bajet) sebanyak RM3.78 bilion untuk tahun depan dilihat mampu merangsang pembangunan. Malah, Bajet Kerajaan Persekutuan bagi 2017 akan menyaksikan usaha-usaha peningkatan infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, pemetaan tanah adat tempatan serta usaha mempertingkatkan Pusat Kawalan Keselamatan Pantai Timur Sabah,” katanya.
Menurut Musa, SEDIA juga menyediakan pelbagai program bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana termasuk 1Agro-SAIP, SDC BizLink, Hot Desk dan Program Inkubator.
“Program jelajah anjuran SEDIA berjaya menarik pembabitan kira-kira 141 peserta untuk dilatih sebagai usahawan berjaya di bawah Program Inkubator berkenaan,” katanya.
— BERNAMA