by Oh! Semput
Mahkamah Tokyo telah mengeluarkan keputusan yang menegaskan bahawa suara manusia kini dilindungi di bawah hak publisiti. Perlindungan ini memberi kuasa kepada individu untuk mengawal penggunaan suara mereka serta berhak meraih keuntungan daripadanya, sama seperti wajah atau imej yang telah lama diiktiraf sebagai aset sah.
Keputusan ini secara langsung mengiktiraf suara sebagai aset identiti sah sekali gus menandakan kemenangan separa bagi pelakon suara terkenal Kenjiro Tsuda, yang dikenali melalui peranannya dalam Jujutsu Kaisen dan Yu-Gi-Oh!.

Bagaimanapun, Mahkamah Tokyo menolak permintaan Tsuda untuk memadam video TikTok kerana kandungan itu sudah diturunkan oleh pengguna asal sebelum keputusan diumumkan. Oleh itu, mahkamah menegaskan bahawa TikTok tidak lagi berkewajipan memadam video berkenaan.
Peguam Tsuda, Takashi Hirano menyatakan bahawa keputusan ini menjadikan kedua-dua pihak kelihatan menang. Dari sudut undang-undang, Tsuda mendapat pengiktirafan bahawa suara dilindungi sebagai aset identiti sah, manakala dari sudut praktikal, TikTok bebas daripada tanggungjawab tambahan terhadap kandungan yang sudah tiada

Kes ini mencatat sejarah sebagai yang pertama di Jepun yang melibatkan perlindungan identiti suara daripada peniruan teknologi kecerdasan buatan (AI). Keputusan Mahkamah Tokyo memberi mesej jelas kepada industri hiburan bahawa suara bukan lagi sekadar bunyi. Sebaliknya, ia diiktiraf sebagai identiti hasil latihan bertahun-tahun dan kini sah di sisi undang-undang untuk dilindungi daripada penggunaan teknologi tanpa kebenaran.

Keputusan ini bukan sahaja memberi kemenangan separa kepada Tsuda, tetapi juga membawa kesan besar kepada industri hiburan Jepun. Ia melangkaui kepentingan individu kerana melibatkan kedudukan pelakon suara (seiyuu) yang dianggap ikon dengan nilai komersial tinggi. Suara mereka bukan sekadar untuk bekerja tetapi aset identiti yang membina hubungan emosi dengan peminat. Hal ini menegaskan perlunya undang-undang melindungi identiti suara dalam era teknologi AI.