by Oh! Semput

PENGARANG Urusan Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Abd Jalil Hamid (kanan) melihat ruangan Sunday Vibes pada akhbar New Straits Times (NST) berwajah baharu sambil diperhatikan oleh Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Yushaimi Maulud Yahaya (dua kanan). – Foto Muhammad Sulaiman
SHAH ALAM: Akhbar berbahasa Inggeris tertua di Malaysia, New Straits Times (NST) menyambut tahun 2017 dengan wajah baharu.
Dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai sumber berita dan maklumat berwibawa selaras slogan A Sharper Read, NST mengetengahkan susun atur baharu selain isi kandungan yang terus menjanjikan berita yang menyeluruh dan eksklusif.
Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Abd Jalil Hamid, berkata wajah baharu itu bukan sekadar susun atur semata-mata kerana ia membabitkan penambahbaikan secara besar-besaran selain sebagai tanda anjakan kepada strategi digital didahulukan.
“Ia juga bermakna perubahan dalam cara kami bekerja dan mengolah bahan. Kami juga sedang meningkatkan produk digital termasuk video berita dan media sosial serta menambah lebih ramai pengarang dan petugas digital.
“Akhbar NST baharu yang mengetengahkan ‘masthead’ baharu dan reka bentuk huruf yang segar, adalah sebahagian daripada transformasi bilik berita untuk menangani perubahan drastik tabiat pembaca dan landskap pemasaran,” katanya.
Biarpun begitu, Abd Jalil berkata, versi cetak akan terus menjadi komponen penting akhbar NST berikutan aliran pulangan pengiklanan dan pengedarannya yang signifikan.
Antara ruangan baharu termasuk ‘Actionline’ dan ulasan produk sukan di ruangan sukan; sisipan ‘Property’, ‘Sunday Vibes’ dan ‘School Times’ selain sisipan baharu untuk ‘Life and Times’.
Sementara itu, cetakan akhbar New Sunday Times baharu yang pertama di Loji Pencetakan Balai Berita Shah Alam (BBSA) di sini, malam tadi, turut disaksikan Abd Jalil dan Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Yushaimi Maulud Yahaya.
Category: Semasa