by Oh! Semput
Samsung ketika memperkenalkan Galaxy AI beberapa tahun sebelum ini, sedia memberikan petanda yang ia tidak akan percuma selamanya, dan akan tiba masa dimana mereka akan mengenakan caj bayaran. Kini, ia dilaporkan SammyGuru, Samsung dalam perancangan untuk memperkenalkan pelan langganan berbayar Galaxy AI Premium bermula $4.99 sebulan.
Pelbagai ciri-ciri sedia ada yang ditawarkan melalui Galaxy AI dijangka akan kekal percuma, tetapi dengan sokongan langganan, ia akan menawarkan akses penggunaan lebih banyak, disamping penawaran kepada ciri-ciri baharu.

Menurut laporan SamMobile, Samsung dijangka menambah ciri AI berejen untuk pelanggan berbayar Galaxy AI Premium melalui ciri dinamakan Bixby Action, selain memudahkan mengautomasi sejumlah tugasan melalui Galaxy Claw. Disamping itu, pengguna turut akan menerima akses kepada penjanaan video, dan beberapa ciri lain.
Pelan berbayar juga dijangka menawarkan akses yang lebih banyak kepada ciri sedia ada, sekaligus mungkin membuatkan pengguna Samsung tegar melanggannya. Menurut laporan awal, antara contoh yang diberikan adalah pengguna percuma boleh melakukan 10 terjemahan dan 2 janaan imej setiap hari. Sementara pengguna pelan berbayar akan menerima akses bermula 100 terjemahan dan 20 janaan imej setiap hari.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan pengenalan Galaxy AI Premium, disamping ciri-ciri AI berejen yang akan dibawakan oleh Samsung kepada pengguna Galaxy.