Sandakan: Kedai Keperluan Harian di Batu 8, Musnah

by Oh! Semput


9
SHARES
113
VIEWS
Posted on 08 Dec 2016 11:00:10

SANDAKAN: Sebuah kedai menjual pakaian, buku dan barang keperluan harian mengalami kerugian dianggarkan jutaan ringgit selepas musnah dalam kebakaran di Batu 8, awal pagi kelmarin.

Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Zon Sandakan, Penolong Penguasa Calvin Joe Jeafery berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 4.39 pagi.

Katanya empat jentera bomba dan tiga utiliti bersama 16 anggota yang diketuai olehnya bergegas ke lokasi kebakaran itu.

Beliau berkata pihaknya yang tiba 18 minit kemudian berjaya mengawal api daripada merebak pada jam 8.08 pagi.
“Api dipercayai bermula dari tingkat bawah bangunan kedai berkenaan sebelum merebak ke bahagian atas. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran dan jumlah kerugian.

Dalam kes berasingan, sebuah rumah di perumahan teres blok 100 Lorong Indah 33 Taman Indah Jaya hampir musnah terbakar dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Calvin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.07 pagi berhubung kebakaran terbabit.

“Dua jentera bomba bersama sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kebakaran dan tiba lapan minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal kira-kira jam 2.40 pagi sebelum padam sepenuhnya 43 minit kemudian.

“Tiga penghuni dalam rumah itu sempat menyelamatkan diri,” katanya sambil menambah, api memusnahkan 50 peratus bahagian rumah berkenaan.

Setakat ini, pihaknya masih menyiasat punca dan jumlah kerugian dialami pemilik serta penghuni rumah.


LIKE Kami Sekarang
Untuk Terus Mengikuti Berita Pantas

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts