Selepas 13 Tahun, GTA VI Akhirnya Dilancarkan Dengan Ulasan Hampir Sempurna

by Oh! Semput


3
SHARES
43
VIEWS
Posted on 19 Nov 2026 04:00:10

Pemain di seluruh dunia akhirnya berpeluang mencuba Grand Theft Auto VI (GTA VI) pada Rabu (Khamis 19 November waktu tempatan). Pada masa sama, pengkritik memberikan pujian tinggi kepada salah satu permainan video paling dinantikan pernah dihasilkan.

Siri terbaharu francais jenayah itu hadir 13 tahun selepas edisi penuh terakhirnya memecahkan rekod jualan dan menjadi antara produk hiburan paling menguntungkan sepanjang zaman.

Siri GTA membolehkan pemain menghayati fantasi sebagai gengster, merosakkan kereta dan bertarung dengan sesiapa sahaja dalam sebuah bandar fiksyen di Amerika Syarikat yang dipenuhi penjenayah kecil, pekerja seks dan samseng.

GTA VI dilancarkan terlebih dahulu di New Zealand pada tengah malam waktu tempatan (1100 GMT Rabu). Selepas itu, ia dilancarkan secara berperingkat di seluruh dunia apabila setiap pasaran mencapai tengah malam.

Luke Starik dari New Zealand antara yang terawal bermain, namun wataknya tidak bertahan lama. “Dah ‘Wasted’. Kali pertama, tak bertahan lama,” katanya kepada AFP sambil ketawa.

“Ini antara perkara besar dalam hidup saya… Saya dah lama main GTA,” kata Riley Fennel, pelajar Australia yang sedang melawat Tokyo, kepada AFP.

Laman pengumpul ulasan Metacritic memberikan permainan itu skor 99 daripada 100.

Seorang pemain berusia 42 tahun menulis di forum Reddit berbahasa Jerman bahawa dia telah mengambil cuti untuk bermain sepanjang malam. Namun, menjelang 1:20 pagi, dia sudah pun berbaring di katil kerana sakit kepala, walaupun masih kagum dengan permainan tersebut.

“Tiga belas tahun lalu, dengan permainan seperti ini, saya pasti bermain sehingga pukul enam pagi,” tulisnya.

Di forum Reddit rasmi permainan itu, ramai pemain teruja dengan elemen interaktif yang dipertingkatkan. Antaranya, pemain boleh menolak jet ski yang tersadai kembali ke dalam air.

“Ini menakjubkan!” tulis seorang pengguna.

Firma analitik Omdia menganggarkan GTA VI mampu menjana jualan AS$3.2 bilion menjelang akhir tahun ini untuk studio Rockstar Games dan syarikat induknya, Take-Two Interactive.

PlayStation turut melaporkan masalah sambungan untuk seketika di halaman status perkhidmatannya sebelum perkhidmatan kembali pulih.

‘Taylor Swift dunia permainan video’

Andrew Webster menulis ulasan untuk The Verge bertajuk “GTA VI does something impossible — it lives up to the hype”. Menurutnya, permainan itu “terlalu bagus sehingga gembar-gembur luar biasa terhadapnya menjadi perkara paling kurang menarik mengenainya.”

Pengguna media sosial turut memuji grafiknya.

“Ada satu momen, tanpa spoiler, cahaya dari belakang salah satu watak jatuh dengan begitu tepat, dan saya sumpah saya sedang melihat manusia sebenar,” tulis pengguna Reddit No_Strike9652.

Sebelum pelancaran, Joost van Dreunen, profesor di Stern School of Business, New York University, memberitahu AFP bahawa permainan itu merupakan “outlier” dalam industri hiburan.

“Ini Taylor Swift bagi permainan video,” katanya.

“Jangkauan permainan ini begitu luas sehingga ia akan memberi kesan berantai terhadap penglibatan pada perkhidmatan hiburan lain,” seperti platform penstriman, kata penganalisis Omdia, James McWhirter.

Ramai peminat mengambil cuti untuk menjelajah negeri fiksyen Leonida, yang diinspirasikan daripada Florida.

“Saya akan ambil cuti empat hari,” kata Dmytro Shkambara, pemain berusia 27 tahun dari Ukraine yang menetap di Berlin. Menurutnya, dia telah merancang sesi pertamanya “sejak sekian lama.”

Platform sumber manusia Remote berkata pihaknya mencatatkan peningkatan 32 peratus dalam permohonan cuti di seluruh dunia bagi 19 November.

GTA VI dipromosikan sebagai lebih besar, lebih baik dan lebih realistik berbanding siri sebelumnya. Ia mengisahkan pasangan ala Bonnie dan Clyde yang cuba meneruskan hidup di Vice City, bandar yang penuh jenayah dan diinspirasikan daripada Miami.

Pada Selasa, permainan itu menerima lapan pencalonan untuk The Game Awards, majlis anugerah di Amerika Syarikat yang meraikan permainan video terbaik tahun ini. Majlis tersebut akan berlangsung pada 10 Disember.

Subversif dan kontroversi

Rockstar menghabiskan lebih lapan tahun untuk membangunkan permainan ini.

Studio itu menangguhkan pelancaran sebanyak dua kali selepas insiden penggodaman pada 2022, apabila rakaman permainan yang dicuri dimuat naik ke internet. Ia turut berdepan satu lagi siri ketirisan pada musim panas lalu.

Siri ini sejak sekian lama dituduh mengagungkan keganasan dan jenayah. Ia juga menjadi simbol budaya pop yang bersifat subversif, terkenal kerana menyindir kelemahan masyarakat Amerika.

Pemain boleh melanggar pejalan kaki, menjual dadah dan menembak polis.

“Ia siri yang terkenal kerana sentiasa melampau dari segi gambaran keganasan, pelbagai bentuk penderaan atau gangguan, serta gambaran gender,” kata Paolo Ruffino, pensyarah budaya digital di King’s College London.

“Saya tidak menjangkakan kontroversi besar, melainkan ada sesuatu yang benar-benar baharu,” tambahnya.

Setakat ini, tiada pelancaran rasmi dirancang di Rusia, China, Lubnan atau Qatar. – AFP

{suggest}

Selepas 13 Tahun, GTA VI Akhirnya Dilancarkan Dengan Ulasan Hampir Sempurna WISER.MY.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts