by Oh! Semput
JERANTUT: Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu anggota polis dalam kejadian di Kilometer 33 berhampiran Bukit Nikmat, di sini pada 23 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt. Mohd Azhari Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 5.40 petang berlaku semasa Proton Waja yang dipandu anggota polis terbabit bergerak lurus dari arah Jerantut menuju ke Bukit Nikmat.
Ketika sampai di lokasi kejadian, pemandu terlihat dua kanak-kanak lelaki sedang bermain di tepi jalan.
“Secara tiba-tiba, salah seorang kanak-kanak berkenaan telah berlari ke arah jalan dan dilanggar pada bahagian sisi kiri hadapan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) turut menjalankan siasatan selari bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang salah laku melibatkan anggota terbabit.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut atau mana-mana balai polis berhampiran. #MalaysiaGazette