by Oh! Semput
PEKAN: Seramai 1,050 peserta mewakili 105 pasukan bersaing dalam lima kategori cabaran 'Mara Lasak' Pahang 2.0 sejauh 15 kilometer (km) dengan menempuh pelbagai halangan di Felda Chini Satu, di sini hari ini.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Fadzli Mohamad Kamal selaku pengerusi penganjur.
Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang membariskan sepuluh atlet terbaik dinobat selaku juara katagori badan beruniform untuk membawa pulang hadiah emas bernilai RM2,000 dan pingat, tempat kedua berpihak pada pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang (RM1,500 dan pingat) dan ketiga Black Panther serta IPD Temerloh A (RM1,000 dan pingat).
Dalam kategori penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, belia serta komuniti setempat, johan Majlis Bandaran Temerloh (MBT), naib johan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan ketiga Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara B Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Bagi kategori jabatan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun, juara bersama berpihak pada MRP Selek dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), naib juara PSDM Titans dan ketiga MSP Warrior.
Pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan muncul juara kategori VIP, kedua pasukan Tengku Mahkota Pahang (TMP) dan ketiga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) A.
Sementara itu, menurut Fadzli, selaku penganjur, berpuas hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima pada edisi kedua Mara Lasak di Chini kali ini yang berjaya menghimpunkan seramai 1,050 peserta mewakili 105 pasukan bersaing memburu kejuaraan secara berpasukan.
"Lebih mencabar lagi setiap peserta perlu membawa bebanan seberat lima kilogram (kg) menggunakan beg galas, pihak urusetia menyediakan laluan mencabar yang menguji kecergasan, kekuatan mental dan fizikal," katanya. #BeritaHarian