Setia pada Najib Bukan Buta Tuli Atau Sebab ‘Dedak’ – KJ

by Oh! Semput


1
SHARES
17
VIEWS
Posted on 03 Dec 2016 14:00:27

KUALA LUMPUR: Ahli Umno mesti menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana presiden parti telah melaksanakan pelbagai idea yang diketengahkan akar umbi, sekali gus membuktikan sokongan itu bukan secara membuta tuli.

Menempelak pihak luar yang melemparkan pelbagai tohmahan, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, saranan itu juga bukan bermakna beliau meminta ahli Umno menyokong Najib secara membuta tuli, sebaliknya kerana ia berasaskan fakta.

“Semua cadangan yang disampaikan akar umbi termasuk isu kos sara hidup, perumahan telah dilaksanakan perdana menteri. Jadi, satu kemestian untuk kita menyokong presiden parti.

“Perkara ini bukan ketaatan dan kesetiaan yang membuta tuli tetapi berdasarkan perintah agama untuk kita beri kesetiaan kepada pemimpin yang tak melampaui batas.

“Saya nak tanya adakah presiden kita seorang pemimpin yang melampaui batas? Adakah pemimpin kita buat perkara yang dilarang Islam?” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2016 pada Sabtu.

Isu wala’ mula dibangkitkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menunjukkan kesetiaan kepada Najib ketika Perdana Menteri itu menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden parti menegaskan prinsip kesetiaan untuk mempertahankan institusi presiden juga akan membentuk kebersamaan yang menyumbang kepada kekuatan organisasi.

Menerusi ucapan bersemangatnya, Ahli Parlimen Rembau itu turut mengimbau pengalamannya sepanjang mengetuai Pemuda Umno sejak 2009.

Tegas Khairy, walaupun tidak diberikan sebarang jawatan dalam Kabinet Persekutuan pada ketika itu, beliau tetap setia dengan kepimpinan Najib.

“Saya tak minta apa-apa untuk diri saya, ini untuk rakyat. Saya tak minta dedak. Penggal pertama waktu saya bangkitkan pelbagai isu untuk rakyat, saya tak ada apa-apa jawatan walaupun saya ketua pemuda yang menang bertanding…tapi saya disimpan dalam peti ais.

“Boboi yang kalah dengan saya dilantik menjadi timbalan menteri. Namun saya tidak marah, tidak merajuk, tidak kecewa, malah itiqamah bersama presiden. Walaupun muka saya jahat berbanding boboi yang nampak kesian…hari ini tengok siapa baik dan siapa yang masih bersama lagi di atas ini,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Gelaran ‘boboi’ dipercayai merujuk kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts