Sonos Ace Ultra Diperkenalkan – Kini Hadir Dengan Sejumlah Penambahbaikan Yang Diminta

by Oh! Semput


4
SHARES
56
VIEWS
Posted on 01 Sep 2026 20:30:50

Dua tahun selepas Sonos memperkenalkan penawaran fon kepala pertama mereka, Sonos Ace, Sonos akhirnya telah memperkenalkan kemaskini kepada fon kepala tersebut, yang dinamakan Sonos Ace Ultra. Rekaan fon kepala baru ini dilihat menyerupai model sebelumnya, tetapi ia akhirnya tiba dengan sejumlah ciri-ciri baru yang diminta oleh pengguna Sonos Ace sebelum ini.

Dengan fon kepala Sonos Ace Ultra, Sonos mengatakan bahawa ia kini hadir dengan sokongan untuk penstriman audio dari pelbagai jenis sumber, termasuklah dari televisyen, penstriman media tempatan dan juga pelbagai jenis perkhidmatan penstriman kandungan yang berbeza. Asalkan ia boleh dimainkan pada mana-mana pembesar suara Sonos, ia juga boleh distrimkan melalui Sonos Ace Ultra.

Dalam pada itu, Sonos Ace Ultra juga disokong sepenuhnya pada semua pembesar suara Sonos, dimana pengguna kelak boleh melontar audio yang dimainkan pada fon kepala tersebut kepada mana-mana pembesar suara Sonos dan juga sebaliknya melalui satu butang sahaja. Sonos Ace Ultra menggunakan platform Headphone Engine 2 terbaru yang hadir dengan cip sambungan WiFi yang lebihi moden untuk menambah sokongan sambungan nirwayar yang lebih meluas ini.

Sonos Ace Ultra juga hadir dengan pengenalan ciri EQ 8 jaluran untuk membolehkan pengguna mengubahsuai kualiti audio secara lebih mendalam, manakala dua mikrofon baru diperkenalkan untuk memperbaiki mutu pembatalan bunyi hingar aktif (ANC) yang dikatakan adalah dua kali lebih baik berbanding dengan apa yang ditawarkan pada fon kepala Sonos Ace sebelum ini. Kusyen fon kepala yang dinaiktarafkan juga membantu dalam peningkatan kualiti audio dan pembatalan bunyi hingar fon kepala ini.

Dari segi bateri, Sonos Ace Ultra juga memperlihatkan penaiktarafan jangkahayat, dimana ia mempunyai jangkahayat bateri sepanjang 35 jam dengan penggunaan berterusan dengan ciri ANC digunakan. Fon kepala Sonos Ace Ultra akan mula dijual di pasaran-pasaran terpilih bermula 29 September pada harga $449, dan ditawarkan dalam warna hitam, putih, perang cerah dan biru (agave).

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts