by Oh! Semput
Tiga tahun selepas penerbangan ujian pertamanya, roket Starship milik SpaceX akan cuba memasuki orbit Bumi buat kali pertama pada Isnin, satu langkah penting dalam pembangunan kenderaan pelancar besar yang direka untuk misi masa depan ke Bulan dan Marikh.
Selepas penyenaraian awam permulaannya pada Jun, SpaceX yang diasaskan Elon Musk kini bersedia mempercepatkan pembangunan Starship menerusi penerbangan ujian ke-14 dengan sasaran yang lebih mencabar.
Ujian itu dijangka berlangsung sekitar 10 jam. Jika semuanya berjalan lancar, peringkat atas Starship akan memasuki orbit Bumi dan melepaskan 26 satelit Starlink generasi baharu.
Pelancaran dijadualkan berlangsung di Texas pada 7.15 pagi waktu tempatan, bersamaan 8.15 malam waktu Malaysia.
Bagaimanapun, penerbangan itu masih berisiko menghadapi kejutan memandangkan beberapa ujian Starship sebelum ini berakhir dengan letupan.
Selepas beberapa tahun pembangunan dan ujian di Texas, SpaceX mula menerbangkan Starship dalam konfigurasi penuhnya pada 2023, dengan sengaja menggunakan trajektori suborbit yang lebih selamat dan kurang mencabar.
Pelbagai pengubahsuaian telah dilakukan terhadap roket besar berwarna hitam dan perak itu, yang merupakan objek terbesar dan paling berkuasa pernah diterbangkan.
Namun, cabaran teknikal yang besar masih perlu diatasi sebelum Starship, yang diharapkan Musk boleh digunakan semula sepenuhnya, dianggap bersedia untuk penerbangan komersial atau misi ke Bulan dan Marikh.
Menerusi ujian terbaru ini, SpaceX mahu membuka fasa pembangunan baharu yang turut merangkumi ujian pengisian semula bahan api di orbit.
Starship akan dilancarkan terlebih dahulu pada trajektori suborbit. Jika semua sistem berfungsi seperti dirancang, kapal angkasa itu kemudian akan melakukan pembakaran enjin kedua untuk memasuki orbit.
Penganalisis kanan di Center for Security and Emerging Technology, Georgetown University, Kathleen Curlee berkata bahagian itu merupakan cabaran paling sukar kerana melibatkan daya yang lebih besar dan pengiraan lebih kompleks.
Menurutnya, untuk mencapai ketinggian dan kelajuan yang diperlukan, roket perlu berfungsi dalam keadaan tahap graviti yang berubah sepanjang penerbangan.
SpaceX menyasarkan orbit bulat kira-kira 275 kilometer dari permukaan Bumi dengan kelajuan sekitar 28,000 km/j.
Jika sasaran itu berjaya dicapai, Starship kemudian akan cuba melepaskan satelit yang direka untuk memperluaskan lagi rangkaian internet satelit Starlink milik syarikat itu.
Menurut perancangan, Starship akan menamatkan perjalanannya di Lautan Pasifik selepas mengelilingi Bumi sebanyak enam kali.
Penggalak peringkat pertama yang dikenali sebagai Super Heavy pula akan jatuh ke perairan Teluk Mexico tidak lama selepas pelancaran.
Untuk ujian kali ini, SpaceX tidak bercadang menangkap semula Super Heavy menggunakan lengan mekanikal gergasi seperti dalam beberapa ujian terdahulu.
Dari sudut kejuruteraan, Curlee berkata sekadar berjaya melakukan penerbangan dan memperoleh data sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan.
Namun, jangkaan orang ramai dan pelabur mungkin berbeza, dengan ujian yang lebih dramatik sering menjadi ukuran terhadap kemajuan program Starship.
Pembangunan Starship sebelum ini berdepan beberapa kelewatan, manakala syarikat China juga baru-baru ini mencatat kemajuan dalam pembangunan roket boleh digunakan semula.
Walaupun begitu, SpaceX masih menguasai sebahagian besar pasaran pelancaran angkasa global melalui keluarga roket Falcon yang boleh digunakan semula sebahagiannya.
Sama ada ujian ke-14 Starship ini berjaya atau tidak, SpaceX turut merancang tiga lagi pelancaran roket pada minggu sama, termasuk satu misi membawa kru angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa. – AFP
SpaceX Sasar Bawa Starship Ke Orbit Buat Kali Pertama WISER.MY.