by Oh! Semput

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Pelakon Rita Rudaini bertekad akan terus cekal dan kuat sebagai ibu tunggal demi membesarkan dua anaknya.
Rita, 44, berkata status sebagai ibu tunggal bukan suatu yang memalukan malah menganggap ia sebagai ‘hadiah’ daripada Allah SWT yang sekaligus menjadikannya sebagai wanita kuat.
“Kenapa Allah pilih kita jadi ibu tunggal? Sebab Allah tahu kita mampu hidup tanpa lelaki. Allah tahu kita kuat. Allah tidak akan uji di luar kemampuan kita.
“Kenapa Allah tarik suami dalam hidup kita? Sebab Allah sayang kita dan tidak mahu kita bersedih.
“Setiap apa yang Dia beri semua ada sebab. Percaya dengan apa yang Dia beri pada kita. Reda dan bersyukur kerana itulah hadiah daripada Dia. Kenapa kita perlu mengeluh? Seolah-olah kita menolak hadiah Allah.
“Kenapa saya masih sendiri hingga sekarang? Kerana saya tengah menikmati hadiah daripada Dia,” katanya di Instagram, semalam.
Sebelum ini, Rita pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak Aidil Zafuan pada Disember 2008.
Pasangan ini diijab kabul di negara jiran dan hanya bertahan lima tahun kemudian dengan dua orang cahaya mata.
Sementara itu, Rita berkata apa yang disampaikan bukanlah satu dorongan kepada mana-mana wanita untuk bergelar ibu tunggal.
Jelasnya,ia tidak lain sebagai ingatan dan panduan kepada kaum wanita agar kekal tabah mengharungi kehidupan masing-masing.
“Mereka yang ada suami tidak perlu beria jadi ibu tunggal pula. Masing-masing ada bahagian. Tetapi kena ingat suami dan anak-anak itu hanya pinjaman sahaja.
“Mati nanti pun dalam kubur seorang sahaja bukan bersama suami,” katanya lagi.