by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan beliau tidak perlukan tempoh sehingga empat tahun untuk mengubah struktur bola sepak tanah air, sekiranya dipilih memegang jawatan tersebut.
Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar Musa bakal berdepan saingan satu lawan satu untuk merebut kerusi tertinggi FAM bagi penggal 2017 hingga 2021, pada 25 Mac ini.
Menurut TMJ, sekiranya beliau dipilih menerajui badan induk bola sepak negara itu, perkara utama yang akan dilakukan adalah mengubah struktur FAM.
“Pertama, saya lebih suka skuad kebangsaan ada organisasi sendiri yang tidak boleh dicuit mana-mana ahli gabungan termasuk timbalan presiden dan setiausaha agung.
“Laporan skuad akan terus kepada saya, pasukan kebangsaan akan ada ketua pegawai eksekutif (CEO) dan jurulatih yang juga terus lapor kepada saya. Tidak ada lagi sikap ‘favourite’ dan malah hanya yang layak sahaja boleh menguruskan pasukan negara,” katanya pada majlis perjumpaan Tunku Mahkota Johor Bersama Penyokong Bola Sepak Tanah Air pada Rabu.
Tunku Ismail turut mendedahkan misi dan visi utamanya sekira berjaya memegang jawatan utama tersebut.
“Saya akan meletak orang-orang saya dalam jawatankuasa tatatertib dan integriti serta jawatankuasa bendahari untuk jaga duit. Dan tak patut keluar satu sen dari FAM tanpa tandatangan saya.
“Setiap tiga bulan mesyuarat exco tidak akan diadakan di FAM lagi ia akan dipindah ke setiap negeri. Mesyuarat pertama akan diadakan di Sabah dan selepas itu di negeri-negeri lain kerana saya dan ahli-ahli exco perlu lihat sendiri keadaan padang latihan, stadium, berapa bajet dan sebagainya,” katanya.
Jelasnya, selepas mesyuarat exco, akan ada pula perjumpaan bersama peminat-peminat bola sepak yang bebas bersuara mengenai pandangan atau perasaan tidak puas hari terhadap pasukan negeri atau kelab masing-masing.
“Saya bertanggungjawab sampaikan segala luahan mereka (peminat) kepada persatuan atau kelab masing-masing,” katanya.
Selain itu, turut dijelaskan Tunku Ismail adalah mengenai program pembangunan bola sepak dan pengadil.
“Pengadil akan ada organisasi sendiri, program latihan yang menggunakan teknologi baharu.
“Saya akan letak pengajar sepenuh masa dari luar negara untuk pengadil-pengadil kita. Mereka juga akan ada jurulatih kecergasan sendiri.
“Di England sehingga kini terdapat 65-69 orang pengadil profesional, namun kita masih belum ada lagi memandang bajet yang terhad.
“Jadi saya harapkan selepas ini kita akan ada sekurang-kurangnya 15 orang pengadil profesional.
“Mereka juga akan dipantau 24 jam oleh jawatankuasa intengriti dan SPRM.
“Malahan, antara yang pertama saya akan lakukan jika memegang jawatan ini juga adalah menukar perlembagaan yang mana selepas ini penyokong-penyokong layak memilih presiden dan bukannya ahli gabungan seperti yang berlaku sekarang.
“Hanya jawatan presiden sahaja, manakala jawatan lain adalah pilihan ahli gabungan,” tambahnya.
Pada perjumpaan tersebut kira-kira 500 peminat bola sepak negara dari pelbagai organisasi hadir memberi pandangan dan mengajukan soalan kepada Tunku Ismail.