Sultan Pahang Bimbang Isu Kos Sara Hidup, Kolej Kediaman Tak Cukup Hingga Separuh Mahasiswa Terpaksa Tinggal Di Luar Kampus

by Oh! Semput


4
SHARES
50
VIEWS
Posted on 21 Oct 2026 20:00:35

PEKAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, universiti bukan hanya menjadi tempat menyuburkan ilmu, tetapi perlu memainkan peranan dalam memelihara kebajikan, kesejahteraan dan masa depan mahasiswa.

Baginda menyatakan rasa prihatin mengenai pelbagai masalah dihadapi mahasiswa ketika ini, termasuk tekanan kos sara hidup, cabaran kesihatan mental dan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

Dalam isu kebajikan asas pula, Al-Sultan Abdullah selaku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menzahirkan kebimbangan apabila lebih separuh daripada mahasiswa universiti itu terpaksa mendapatkan penginapan di luar kampus.

"Keadaan itu sewajarnya diberikan perhatian, lebih-lebih lagi ketika mahasiswa turut berhadapan peningkatan kos kehidupan.

"Janganlah kita begitu ghairah menuntut kecemerlangan mahasiswa, sedangkan keperluan asas untuk mereka mencapai kecemerlangan itu masih belum dipenuhi sepenuhnya," titah baginda.

Justeru, baginda menyeru Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan perhatian sewajarnya terhadap pembangunan kolej kediaman, fakulti dan kemudahan sokongan di UMPSA.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Majlis Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor UMPSA di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Mohd Soffi Abd Razak sebagai wakil rasmi Menteri Besar Pahang dan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir.

Al-Sultan Abdullah turut menghargai usaha UMPSA bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dalam membangunkan Kolej Kediaman Mawaddah berkonsepkan wakaf dan mahu inisiatif seumpama itu diperluas.

Selain masalah kebajikan, Sultan Pahang turut memandang serius gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan melampaui batas.

Baginda bertitah, lebih mendukacitakan apabila ada segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya kebencian dan penghinaan terhadap agama serta institusi.

"Mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan, bukannya gema kebencian.

"Janganlah kerana mengejar populariti di alam maya, hilang pertimbangan di alam nyata. Janganlah kerana ghairah menyuarakan kebebasan, sehingga terlupa akan batas kesopanan, kesusilaan dan tanggungjawab," titahnya.

Dalam soal pendidikan pula, baginda mengingatkan agar budaya mengejar segulung ijazah tidak mengatasi matlamat sebenar menuntut ilmu.

Selain itu, titah baginda, mahasiswa diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai jalan pintas sehingga menjadi semakin malas berfikir, mengkaji dan mencipta.

"Jangan sampai kita melahirkan generasi yang kaya dengan sijil, tetapi miskin dengan ilmu; petah berbicara, tetapi tandus pemikiran," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan mahasiswa agar tidak terpengaruh dengan arus fitnah dan keruntuhan nilai di media sosial sehingga hilang pertimbangan di alam nyata. #Malaysiakini

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts