by Oh! Semput
Permohonan gantian MyKad kini boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi MyGOV Malaysia, membolehkan orang ramai memulakan urusan tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Perkhidmatan ini merangkumi empat jenis permohonan, iaitu gantian biasa bagi MyKad generasi baharu, gantian kad yang mengalami kerosakan fizikal, gantian akibat kerosakan cip serta gantian MyKad yang hilang buat kali pertama disebabkan kecuaian.
Untuk membuat permohonan, pengguna perlu memuat turun atau mengemas kini aplikasi MyGOV Malaysia sebelum log masuk ke akaun masing-masing menggunakan MyDigital ID. Selepas itu, pilih menu Kelahiran & Pengenalan Diri di tab “Perkhidmatan” dan tekan pilihan Penggantian MyKad.
Pemohon kemudiannya perlu mengisi maklumat yang diminta dan memuat naik dokumen sokongan sekiranya diperlukan. Setelah selesai, hantar permohonan dan ikuti arahan seterusnya yang diberikan dalam sistem.

Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa sistem permohonan gantian MyKad melalui aplikasi ini hanya tersedia dalam waktu operasi JPN, iaitu dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Sistem ditutup pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Tempoh kutipan MyKad bergantung pada lokasi yang dipilih. Bagi kutipan di Ibu Pejabat JPN Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ibu Pejabat JPN Negeri dan JPN yang mempunyai mesin cetakan teragih, kutipan boleh dilakukan dalam tempoh 30 minit selepas transaksi permohonan dalam talian berjaya.
Sementara itu, kutipan di JPN cawangan Semenanjung Malaysia boleh dilakukan selepas 5 hari waktu bekerja, manakala kutipan di JPN cawangan Sabah dan Sarawak boleh dilakukan selepas 7 hari waktu bekerja, dengan syarat transaksi permohonan dalam talian berjaya.
JPN turut menasihatkan pemohon supaya menyemak status permohonan menerusi laman rasmi JPN sebelum hadir untuk mengambil MyKad.
Walaupun permohonan boleh dibuat melalui aplikasi MyGOV Malaysia, pemohon masih perlu mengambil MyKad fizikal di lokasi kutipan yang ditetapkan.
{suggest}
Permohonan Gantian MyKad Kini Boleh Dibuat Melalui Aplikasi MyGOV WISER.MY.