Surat rombakan Kabinet baharu palsu, nafi terbabit – Razali Ibrahim

by Oh! Semput


8
SHARES
100
VIEWS
Posted on 10 Dec 2016 11:01:04

AYER KEROH : Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim menafikan dirinya terbabit dalam senarai cadangan Kabinet baharu dipercayai palsu yang menjadi viral di aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, surat cadangan itu bukan sahaja didapati palsu malah format penulisan juga salah.

“Kalau dilihat satu-satu (format) surat itu pun tidak betul. Orang (pihak tidak bertanggungjawab) yang buat surat itu juga tahu apa yang dilakukannya tidak betul dan apabila saya tengok sepintas lalu, saya ketawa.

“Saya rasa perkara (surat palsu) itu tidak menguntungkan sesiapa pun. Mungkin sesiapa yang ada di dalam senarai itu rasa seronok, kalau tidak ada, rasa marah. Akhirnya tidak ada apa yang diperoleh melainkan pergaduhan. Justeru, hentikanlah membuat perkara tidak berfaedah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas viral surat cadangan membabitkan rombakan Kabinet yang baharu dipercayai palsu itu pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) ke-14, di Seri Negeri.

Seramai 848 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil pada majlis konvokesyen berkenaan, yang turut dihadiri EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin dan Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi.

Ketika diminta mengulas lanjut apabila terdapat dakwaan cuba melaga-lagakan pihak tertentu berikutan senarai cadangan berkenaan dikenal pasti tidak membabitkan nama Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, beliau berkata terdapat kemungkinan.

“Mungkin (melaga-lagakan). Saya tidak cakap, itu awak (wartawan) yang cakap. Apa pun, niat dia (pihak tidak bertanggungjawab) itu tidak betul, saya tidak nampak apa kebaikannya daripada perkara itu,” katanya.

Surat palsu membabitkan cadangan rombakan Kabinet baharu kononnya diketuai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu mula menjadi viral di aplikasi WhatsApp, namun ada pihak lain memberi maklum balas ianya palsu berdasarkan format penulisannya yang salah.

Sementara itu, Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bersetuju dengan cadangan Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berhubung cadangan larangan pemberian hadiah yang sebelum ini dikenakan kepada penjawat awam diperluaskan kepada individu berkepentingan (VIP) dalam majlis rasmi di jabatan dan agensi masing-masing.

Category: Semasa

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts