by Oh! Semput
BIARPUN usia kehamilan kedua pelakon jelita, Lisa Surihani sudah mencecah 30 minggu, tetapi aktiviti seni dan kerja sosialnya masih berlangsung seperti wanita normal yang lain.
Dilantik menjadi duta nasional Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), isteri kepada pelakon dan pengarah Yusri KRU itu begitu teruja kerana impiannya sejak dari zaman persekolahan menjadi kenyataan.
“Pelantikan ini bagaikan sebuah penghormatan besar buat saya kerana ia merupakan impian sejak dahulu untuk terlibat dalam UNICEF. Ketika menerima e-mel pihak berkenaan beberapa bulan lalu, saya terkejut sehingga membaca tawaran itu berkali-kali kerana tidak percaya.
“Terdetik juga, layakkah saya untuk menyandang peranan berkenaan, namun dalam masa sama ia merupakan peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan,” katanya yang ditemui pada majlis pelantikan tersebut di Marmalade Cafe, Bangsar baru-baru ini.
Mampu berdiri setanding dengan beberapa bintang antarabangsa yang turut menjadi duta UNICEF seperti Priyanka Chopra, Aamir Khan dan Jackie Chan, aktres berusia 30 tahun itu berkata, sebab utama dia menerima tawaran tersebut adalah untuk mempelajari banyak perkara baharu bersama UNICEF.
Selepas pelantikannya disempurnakan Duta Rasmi UNICEF Malaysia, Marianne Clark-Hattingh, ujar Lisa atau nama lengkapnya Lisa Surihani Mohamed berkata, sebagai duta, dia berhasrat meningkatkan kesedaran masyarakat menangani isu berkaitan kanak-kanak.
“Memandangkan saya juga seorang ibu, banyak perkara yang saya perlu belajar bersama UNICEF. Saya juga bercadang menyelitkan seberapa banyak nilai positif dalam apa jua lapangan yang diceburi agar masalah melibatkan kanak-kanak dapat diatasi.
“Pelbagai aktiviti telah dirancang. Saya akan turun padang selagi ia bersesuaian dengan keadaan saya (hamil) sekarang. Jika tidak larat, saya akan memberikan sokongan melalui media sosial,” janjinya teruja.
Kekal aktif
Mengajak Lisa berbicara kisah kehamilan kedua yang disifatkan banyak perbezaan berbanding dahulu, terpancar jelas seri ibu mengandung pada wajahnya.
Diusik persoalan berkenaan, ibu Yahaira Leanne mengukir senyuman bahagia. Akui Lisa, pengalaman berbadan dua kali ini lebih tenang.
“Sebenarnya, dahulu status kehamilan pertama saya sudah diumumkan pihak tidak bertanggungjawab sebelum fasa trimester pertama habis. Saya memang terkilan dengan perkara itu sehingga membuatkan saya tidak mahu menerima sebarang tekanan luar.
“Dahulu saya tidak suka bersolek, tetapi kali ini saya akan berdandan setiap hari walaupun tidak keluar rumah. Lucunya, dahulu saya takut untuk membawa kereta dan memakai tali pinggang keledar, tetapi sekarang ia terbalik.
“Malah, pada bulan Mac nanti saya dan Yusry akan mulakan sesi penggambaran musim kedua program Ebu Babypedia terbitan Astro. Kami akan berkongsi lebih banyak topik memandangkan penggambaran dibuat ketika saya sedang hamil,” tutupnya.
Baca lagi: Kejayaan ‘Hati Lisa’ Kenangan Terindah Lisa Surihani