by Oh! Semput
TEGURAN Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan pertama kali tetapi sudah beberapa kali dibuat sebelum ini.
Terbaharu, pada 23 Februari 2017, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli politik dari luar Johor supaya jangan mengelirukan rakyat dan memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor dengan mencampuri urusan negeri itu.
Sultan Johor menjelaskan, rakyat Johor telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai sehingga kini, justeru orang luar tidak perlu berlagak pandai atau mengajar apa yang patut dibuat untuk kesejahteraan negeri itu.
Sultan Ibrahim turut memaklumkan bahawa satu masa dahulu ahli politik dari luar Johor itu sering menyindir Melayu mudah lupa namun kini individu berkenaan sendiri menunjukkan sifat pelupanya.
Dahulu, kata Sultan Johor, orang luar dari negeri itu mengatakan pembangkang musuh ketat tetapi sekarang hairannya boleh pula duduk semeja menjadi kawan rapat.
Walaupun Sultan Ibrahim tidak menyatakan nama Mahathir dalam titahnya, namun umum pastinya mengetahui teguran dan peringatan itu ditujukan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tersebut.
Kenapa Sultan Ibrahim membuat teguran sedemikian kepada Mahathir?
Teguran Sultan Johor itu dilakukan disebabkan beberapa perkara yang sudah melampaui batas dan baginda kini dilihat tidak boleh bertoleransi lagi.
Pada 25 Ogos 2016, Sultan Ibrahim menegur Mahathir berikutan pandangannya yang tidak bersetuju dengan gagasan bangsa Johor.
Sultan Johor menyifatkan, pandangan Mahathir tersebut menggambarkan beliau jahil tentang sejarah Johor.
Moyang Sultan Ibrahim, Sultan Sir Ibrahim pada 1920 secara lantang membuat seruan meminta bangsa Johor bersatu di bawah satu bendera bagi mempertingkatkan kerjasama, keharmonian dan kedamaian.
Sultan Johor menegaskan Gagasan Bangsa Johor telah bermula sebelum Mahathir dilahirkan. Mahathir sendiri disifatkan tidak tahu apa yang beliau katakan.
Pada 16 Januari 2017 pula, Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda berhubung tindakan Mahathir yang terus menerus `memutar belit’ isu pelaburan dari negara China di Johor iaitu Forest City.
Sultan Ibrahim sedih dengan sikap Mahathir yang meletakkan kepentingan politik berbanding negara yang tercinta.
Sultan Johor tidak berniat untuk masuk campur dalam soal politik, tetapi berasakan perlu memberi penjelasan memandangkan fakta sebenarnya telah diputar belit oleh pihak berkepentingan.
Mahathir sendiri melampau apabila mendakwa 700,000 rakyat China akan menetap di Johor Bahru dan kerakyatan bakal diberikan kepada mereka selain kawasan tanah yang luas itu telah dijual kepada negara China.
Pada 23 Mac 2016, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengimbau semula layanan Kerajaan Persekutuan ke atas Istana Johor sewaktu krisis Perlembagaan pada 1992.
Tunku Ismail berharap supaya sejarah hitam yang dilakukan kerajaan atas desakan tamak haloba dan gila kuasa itu tidak berulang lagi.
Krisis Perlembagaan 1992 berlaku ketika pentadbiran Mahathir yang menyaksikan usul menyekat kuasa dan kekebalan Raja-Raja Melayu dikemukakan pada sesi khas Parlimen yang diadakan pada Disember 1992.
Persoalannya, adakah Mahathir akan patuh kepada teguran dan peringatan Sultan Johor itu?
Mahathir dilihat tidak lagi dapat memisahkan dendam kesumat peribadinya daripada kepentingan negara.
Sama ada bekas Perdana Menteri itu akan patuh atau tidak, sama-sama kita nantikannya.
Sebagai rakyat, titah dan teguran sultan sepatutnya dipatuhi. Janganlah kita terus mencari perbezaan dan mewujudkan permusuhan atau pertelingkahan dengan institusi diraja.