by Oh! Semput
Teka-teki mengenai kedudukan Ketua Pembangkang akhirnya terjawab apabila Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak lagi menyandang jawatan tersebut.
Menerusi perkongsian video di media sosial, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan kekosongan jawatan berkenaan.
Beliau berkata demikian bagi mengesahkan status jawatan tersebut yang sebelum ini menjadi tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata PN kini telah merangka langkah seterusnya bagi mengisi kekosongan itu menjelang sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menurut takwim Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 akan berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pelbagai pandangan termasuk cadangan supaya jawatan itu diberikan kepada pemimpin Pas, namun menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah dalam politik.

Sementara itu, PN turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pewujudan Akta Pendanaan Politik, namun menekankan kepentingan sesi libat urus menyeluruh sebelum ia dimuktamadkan di Parlimen.
: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokthar