by Oh! Semput
Selepas pelancaran Edits, kini Threads pula dilihat bakal menyokong iPad. Perkara itu didedahkan oleh Ketua Rekaan Threads, Christopher Clare menerusi satu kemas kini yang dikongsikan di platform berkenaan bersama paparan awal aplikasi tersebut pada iPad.

Berdasarkan paparan awal yang dikongsikan, Threads untuk iPad dilihat menggunakan ruang skrin yang lebih besar dengan memaparkan lebih banyak kandungan dalam satu paparan. Pendekatan ini dijangka mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih selesa berbanding versi telefon pintar khususnya ketika mengikuti perbualan dan melihat kandungan.
Buat masa ini, Meta masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi. Namun, perkongsian paparan awal ini menunjukkan bahawa sokongan Threads untuk iPad sedang dibangunkan dan dijangka diperkenalkan kepada pengguna dalam masa terdekat.