HSR: Tidak Kompromi Keselamatan Sempadan

by Oh! Semput


HOME Posted on 13 Dec 2016 22:01:18



PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan sempadan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura telah memperoleh cara untuk mencari keseimbangan bagi menjadi mesra penumpang tanpa menjejaskan keselamatan HSR.

“Kami telah memperoleh penyelesaian yang sewajarnya. Tiga pusat kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) bersama akan diwujudkan. Kesemuanya akan memantau pergerakan orang ramai.

“Kami percaya ini merupakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan. Ia mesra penumpang dan pada masa sama tidak ada kompromi dalam aspek keselamatan.

Saya rasa kami telah memperoleh keseimbangan yang tepat antara kedua-duanya,” katanya pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di sini hari ini.

Terdahulu, Najib dan Lee mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat delegasi bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-7 di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian HSR Kuala Lumpur-Singapura bersempena pemukiman itu.

Landasan kereta api sepanjang 350km itu, keseluruhannya mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Ia akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit berbanding tiga jam sekarang.

Sementara itu, Lee berkata terdapat keperluan untuk memastikan sempadan Malaysia-Singapura selamat dan terjamin.

“Beratus-ratus ribu orang menyeberang sempadan setiap hari. Ia adalah sempadan antarabangsa yang paling sibuk di dunia.

“Tidak perlu menutup sempadan Malaysia-Singapura berikutan masalah keselamatan. Kita perlu menangani masalah itu dengan kerjasama erat agensi dari kedua-dua belah pihak.

“Kita perlukannya untuk HSR dan Sistem Transit Rapid (RTS). Kami akan berusaha untuk menjayakannya,” katanya. – BERNAMA

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...