by Oh! Semput

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AFP
WASHINGTON: Rumah Putih menafikan satu laporan yang mendakwa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendedahkan maklumat sulit kepada pegawai Russia minggu lalu, mengatakan tiada sebarang risikan sumber atau kaedah tertentu dibincangkan.
Washington Post berkata, Trump memberi Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dan duta Moscow ke AS, Sergey Kislyak butiran mengenai ancaman keganasan tertentu yang ditimbulkan oleh militan Daesh ketika perbincangan di Pejabat Oval minggu lalu.
Laporan mengejutkan itu disiarkan ketika tuduhan bahawa Moscow campur tangan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun lalu kembali timbul berikutan tindakan Trump memecat ketua Biro Siasatan Persekutuan (FBI) James Comey, yang sedang menyiasat kemungkinan wujud pakatan sulit antara Russia dan pembantu jutawan Republikan itu.
"Presiden dan Menteri Luar mengkaji pelbagai bentuk ancaman yang sama terhadap kedua-dua negara, termasuk ancaman kepada penerbangan awam," kata Penasihat Keselamatan Negara, HR McMaster, yang turut mengambil bahagian dalam mesyuarat itu, kepada pemberita.
"Tiada apa yang lebih penting bagi presiden selain mengambil serius keselamatan rakyat Amerika. Laporan yang disiarkan malam ini adalah palsu." - AFP