by Oh! Semput
23 MEI — Kenyataan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohamad Rafii yang mengatakan Malaysia akan mencapai negara bersih pada tahun 2050 melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) telah membuka pekung yang ada.
Kenyataan itu membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini tidak bersih sebaliknya terpalit dengan pelbagai kepincangan.
Pemuda Umno tidak boleh menafikan bahawa kerajaan yang ada selama ini tidak mempunyai integriti disebabkan kegagalan urus tadbir dan tatakelola akibat pimpinan yang tidak amanah dan bertanggungjawab.
Sebaliknya negara sedang menghadapi krisis kepimpinan yang sangat meruncing menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan kerajaan yang bersih mestilah dilaksanakan sejak awal pembentukan lagi. Namun hampir 60 tahun Umno-Barisan Nasional memerintah negara, pentadbiran yang bersih gagal dilaksanakan disebabkan integriti parti dan pemimpin yang sedia ada.
Kenyataan Pemuda Umno yang mensasarkan kerajaan bersih tahun 2050 adalah satu sasaran yang tidak masuk akal. Kenapa memerlukan 33 tahun lagi untuk memastikan pentadbiran negara benar-benar bersih?
Kami menegaskan rakyat mahukan kerajaan yang bersih dan amanah dalam pentadbirannya. Selama hampir separuh abad Umno-BN memerintah negara terbukti gagal, kini mereka mahukan 33 tahun lagi untuk memastikan kerajaan bersih dapat dilaksanakan.
Pemuda Amanah menyifatkan kerajaan yang bersih tidak akan berjaya dilaksanakan sekiranya Umno-BN terus memerintah negara.
Kami yakin rakyat tidak lagi percaya kepada kerajaan yang sedia ada sebaliknya mahukan satu pentadbiran baharu untuk memerintah negara.
Kami yakin rakyat tidak akan memberi ruang dan peluang sehingga 2050 untuk kerajaan yang sedia ada menjarah wang negara. Rakyat sudah mempunyai azam untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke-14 dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan!
* Mohd Sany Hamzan adalah ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah)
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.