by Oh! Semput
Apakah spesies dan ciri-ciri tupai? Artikel ini akan membincangkan spesies dan ciri-ciri tupai yang anda perlu tahu
Tupai adalah haiwan yang comel dan tangkas. Terdapat tupai yang hidup di kawasan liar, dan ada juga tupai yang dibela dan dijaga oleh manusia. Tupai khususnya tupai pokok hidup di pelbagai jenis hutan (natural coniferous, mixed and deciduous forests).
Hal ini kerana ia bergantung pada pokok-pokok yang matang untuk membina sarangnya. Kriteria seperti saiz habitat yang sederhana, saiz badan, aktiviti di siang hari dan mudah untuk dijerat menjadikan tupai sebagai model terbaik untuk menilai kesan-kesan daripada pemecahan hutan di suatu kawasan.
Tupai adalah dari keluarga Sciuridae. Ia boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu tupai pokok, tupai tanah dan tupai terbang. Tupai pokok adalah kumpulan tupai yang paling dikenali. Tupai pokok terbahagi kepada dua genus iaitu (1) genus Sciurus (bersaiz besar dan ekornya lebat dan besar) contohnya eastern gray (Sciurus carolinensis), western gray (Sciurus griseus), Abert’s (Sciurus aberti), fox (Sciurus niger), dan Arizona gray squirrel (Sciurus arizonensis).dan (2) genus Tamiasciurus (bersaiz kecil) seperti Douglas (Tamiasciurus douglasii) dan eastern US analog red squirrel (Tamiasciurus hudsonicus).
Tupai mempunyai badan yang panjang dan bulu halus. Ia mempunyai sepasang mata yang besar yang terletak berasingan di bahagian tepi kepala. Daya penglihatan yang luas ini memberi kelebihan kepada tupai untuk mengesan kehadiran mangsa dan juga pemangsa seperti burung hantu, musang dan ular.
Tupai wujud dalam pelbagai saiz mengikut jenis spesies dalam julat 10g hingga 8kg. Ia juga berbeza dari segi warna bulu (termasuk hitam, putih, merah dan coklat). Tupai mempunyai kaki depan dan belakang di mana kaki depan berfungsi sebagai “tangan”.
Tupai juga mempunyai gigi yang sentiasa tumbuh sepanjang hayatnya, seperti manusia. Oleh kerana tupai melakukan aktiviti menggigit dalam kehidupan sehariannya, gigi tupai menjadi sentiasa pendek dan tajam.
Tupai adalah sejenis haiwan mamalia yang berkebolehan melahirkan anak. Tupai mampu melahirkan anak seawal usia 6 bulan. Tempoh tupai bunting adalah di antara 4 hingga 6 minggu, berbeza mengikut jenis spesies.
Kelakuan mengawan
Tempoh estrus bagi tupai betina adalah paling maksima 1 hari. Ketika musim pembiakan, tupai-tupai jantan akan pergi ke kawasan yang biasa diduduki oleh tupai betina dan cuba berinteraksi dengan tupai betina. Persaingan intraspesifik wujud untuk mendapatkan pasangan mengawan. Sehubungan itu, tupai jantan menggunakan kewilayahan mereka sebagai salah satu strategi untuk memenangi persaingan berkenaan. Jadi, tupai jantan yang dominan berpeluang mendekati tupai betina dengan mengecam laluan yang selalu digunakan oleh tupai betina serta mendapatkan maklumat olfaktori mengenai perkembangan fasa estrus tupai betina. Sementara itu, tupai-tupai jantan yang cuba menghampiri tupai betina dihalau oleh tupai jantan dominan.
Tingkah laku sosial
Saiz tempat tinggal
Saiz tempat tinggal tupai bergantung kepada kehadiran sumber makanan dan perlindungan bekalan makanan. Spesies tupai Sciurus kebiasaannya mempunyai pertindihan kawasan tempat tinggal dengan kumpulan tupai lain kerana tiada keperluan untuk melindungi bekalan makanan. Saiz tempat tinggal tupai betina dilaporkan lebih kecil namun ia lebih stabil berbanding tupai jantan. Tambahan lagi, saiz tempat tinggal tupai jantan lebih dipengaruhi oleh aktiviti mengawan berbanding kehadiran sumber makanan.
Communal nesting
Communal nesting merujuk kepada keadaan di mana sekurang-kurangnya dua ekor tupai berkongsi sarang yang sama pada satu masa. Spesies tupai Sciurus kebanyakannya mengamalkan perkongsian sarang ini, namun tidak bagi spesies tupai Tamiasciurus. Sarang kongsi ini boleh didapati pada sepanjang tahun dan saiz kumpulan sarang kongsi ini bertambah pada waktu musim salji. Aktiviti ini sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Secara amnya, struktur sarang sahaja akan meningkatkan suhu persekitaran sehingga mencecah 30 darjah celsius. Tambahan lagi, tinggal secara berkumpulan di satu kawasan memberi kelebihan kemandirian kepada tupai-tupai.
Kelakuan makan
Memandangkan ianya menetap di kawasan hutan, sumber makanan utama tupai spesies ini adalah biji benih termasuk kekacang, buah, tunas, daun, kulit kayu dan kulat yang tumbuh pada pokok. Mereka juga memakan haiwan invertebrata seperti kumbang, ulat bulu dan larva pelbagai serangga. Mereka juga dilihat menggigit tulang-tulang dan memakan tanah (geophagy), berkemungkinan untuk mendapatkan bahan-bahan mineral seperti natrium, kalsium dan magnesium. Bahan-bahan mineral berkenaan adakalanya kurang dalam sumber makanan utama tupai iaitu biji benih dan kekacang.
Tupai biasanya tinggal di persekitaran di mana kehadiran sumber makanannya dipengaruhi oleh faktor musim; jumlah makanan meningkat ketika musim luruh dan musim bunga manakala menjadi berkurangan apabila berlakunya musim panas dan musim salji. Menariknya, tupai ini mampu mengatasi masalah kekurangan sumber makanan dengan menyimpan biji benih dan biji ek (acorn) dengan cara menimbun makanan tersebut di suatu tempat yang tidak diketahui oleh tupai-tupai lain. Aktiviti penyimpanan makanan tersebut biasanya dilakukan pada musim luruh. Aktiviti ini penting kerana ia memastikan kelangsungan sumber tenaga kepada tupai sepanjang perubahan musim. Daya ingatan jangka panjang dan deria bau yang bagus mendorong mereka mengesan tempat simpanan makanan setelah berbulan-bulan lamanya.
Rujukan