Lima Warga Indonesia Ditahan, Peralatkan OKU Untuk Mengemis

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 12 Jul 2026 11:31:32

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket kegiatan mengemis yang dipercayai memperalatkan individu Orang Kurang Upaya (OKU) tempatan yang cacat penglihatan bagi meraih simpati orang ramai menerusi operasi khas di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 10 malam itu membawa kepada penahanan lima wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 56 tahun selepas disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Siasatan awal mendapati kumpulan tersebut menggunakan individu OKU sebagai daya tarikan untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai. Mereka dipercayai memimpin mangsa ke lokasi tumpuan awam, khususnya di kawasan kedai makan pada waktu malam, sebelum berpura-pura menjadi pasangan suami isteri bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Bagi mengaburi mata orang ramai, individu yang menghulurkan wang akan diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan tanggapan bahawa mereka menjalankan aktiviti jualan dan bukannya mengemis. Taktik itu dipercayai digunakan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk memberi sumbangan.

Menurut Zakaria, sindiket tersebut dipercayai mampu mengaut pendapatan antara RM100 hingga RM200 setiap malam dan aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak Januari lalu.

Semakan lanjut mendapati dua daripada wanita yang ditahan menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembantu rumah dan Pas Lawatan Sosial, manakala seorang lagi tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Dua individu lain pula didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua suspek telah dibawa ke pejabat imigresen bagi tindakan lanjut.

JIM menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau sindiket yang menyalahgunakan kemudahan imigresen serta mengeksploitasi golongan rentan demi kepentingan peribadi, selain memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.

Lima Warga Indonesia Ditahan, Peralatkan OKU Untuk Mengemis first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts