by Oh! Semput
Pengguna di Malaysia kini boleh menggunakan Pembantu AI Agoda untuk merancang perjalanan dan membuat tempahan melalui satu perbualan. Ciri ini kini diperluas ke 21 pasaran selepas mula diuji secara terhad pada September lalu.
Melaluinya, pengguna boleh mendapatkan cadangan penginapan, penerbangan, restoran dan tempat menarik, selain membandingkan pilihan serta menyemak harga dan ketersediaan mengikut tarikh perjalanan. Tempahan juga boleh diteruskan melalui aplikasi Agoda tanpa perlu mengulangi proses carian dari awal.

Pembantu AI ini turut mengekalkan pilihan pengguna dan konteks perjalanan sepanjang proses perancangan. Semua maklumat tersebut dihimpunkan dalam satu paparan perancang perjalanan yang membolehkan pengguna melihat tempahan akan datang, tempat yang ingin dikunjungi serta rancangan yang belum dimuktamadkan.
Pada masa ini, keupayaan perbualan utama Pembantu AI Agoda dikuasakan model OpenAI. Bagi carian restoran dan tempat menarik pula, Agoda menggunakan Gemini bersama Google Maps Grounding untuk mendapatkan maklumat daripada Google Maps, termasuk penilaian, gambar, waktu operasi dan lokasi.
Agoda turut mengintegrasikan carian web bagi membekalkan maklumat terkini daripada internet.
Walaupun sudah ditawarkan kepada pengguna di Malaysia, Pembantu AI Agoda ini masih berada dalam fasa beta dan boleh diakses melalui aplikasi mudah alih Agoda.
{suggest}
Agoda Kini Ada Pembantu AI Untuk Bantu Rancang Percutian, Buat Tempahan WISER.MY.