by Oh! Semput
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak kerjasama dengan DAP sebagai satu tindakan yang tegas, konsisten dan berprinsip.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyatakan pendirian tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Onn Hafiz sememangnya sudah menyatakan perkara itu sejak awal lagi.
Sebelum ini, Pengerusi BN Johor itu menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP demi menghormati hasrat rakyat Johor yang mahu Barisan Nasional bergerak sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Onn Hafiz turut menjelaskan bahawa pendirian tersebut bukan berasaskan sentimen perkauman atau sikap angkuh, sebaliknya berkait rapat dengan prinsip, mandat yang diterima serta tanggungjawab terhadap Bangsa Johor.
Malah, beliau turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan Menteri Besar berbanding bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Akmal menegaskan pendirian yang ditunjukkan oleh Onn Hafiz bukti beliau seorang pemimpin yang mempunyai prinsip yang jelas dan wajar dipertahankan.
Pada masa sama, Akmal turut mengucapkan penghargaan kepada Onn Hafiz atas pendirian yang menurutnya tidak pernah berubah sejak dahulu.
