Kehilangan 43 Barang Kemas, Rosmah Mansor Diperintahkan Bayar RM67 Juta Kepada Syarikat Barang Kemas Global Royalty Trading SAL Lubnan

by Oh! Semput


3
SHARES
44
VIEWS
Posted on 10 Jun 2026 13:31:52

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memutuskan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas yang diterima secara konsainan pada 2018.

Hakim Datuk Quay Chew Soon berkata, wujud kes prima facie bahawa Rosmah cuai kerana gagal memulangkan barang kemas berkenaan kepada pemiliknya selain tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk memastikan keselamatan barang tersebut.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan tuntutan syarikat berpangkalan di Lubnan itu dan mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 bersamaan AS$14.5 juta dalam tempoh sebulan bermula Rabu.

Mahkamah turut memerintahkan isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu membayar kos sebanyak RM150,000, masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara serta kerajaan.

Selain itu, faedah lima peratus setahun dikenakan ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

Ketika menyampaikan keputusan secara dalam talian, Quay Chew Soon berkata Rosmah gagal membuktikan dakwaannya bahawa 43 barang kemas yang hilang itu telah dirampas atau disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa beberapa siri serbuan pada 2018.

“Hanya satu daripada 44 barang kemas yang dihantar kepada defendan berjaya dikenal pasti berada dalam simpanan polis,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan defendan memanggil saksi material yang didakwa terlibat secara langsung dalam pengendalian dan pergerakan barang kemas berkenaan turut menjejaskan pembelaannya.

Hakim itu juga memutuskan bahawa nota konsainan yang menjadi perakuan penerimaan barang adalah tulen kerana ditandatangani sendiri oleh Rosmah.

Pada 10 Februari 2018, wakil Global Royalty menghantar 44 barang kemas kepada Rosmah di kediamannya untuk tujuan konsainan bagi membolehkan beliau meneliti dan memilih barangan yang ingin dibeli.

Rosmah mengakui menerima barang kemas tersebut secara konsainan dan memahami bahawa hak miliknya kekal di bawah syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menafikan bertanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas itu dengan alasan ia telah disita pihak berkuasa susulan serbuan di Pavilion Residences selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Beliau turut mendakwa barang kemas berkenaan dihantar bagi tujuan publisiti serta mempertikaikan kesahihan nota konsainan dengan mendakwa dokumen itu tidak teratur, tidak lengkap dan palsu.

Sementara itu, mahkamah turut memutuskan Rosmah gagal membuktikan Ketua Polis Negara dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas terbabit ketika siasatan berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Defendan tidak boleh sekadar menyatakan bahawa ada serbuan oleh pihak polis dan barang mungkin telah disita. Beliau mesti membuktikannya.

“Mengikut Seksyen 101, 102 dan 103 Akta Keterangan, beban pembuktian sesuatu fakta terletak pada pihak yang membuat dakwaan itu,” katanya.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau memberikan gambaran bahawa semua barang kemas terbabit, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, telah dirampas pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan polis manakala baki 43 lagi tidak pernah direkodkan berada dalam jagaan pihak berkuasa.

Global Royalty turut mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas berkenaan sebenarnya tidak dapat dikesan.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk David Gurupatham mewakili Global Royalty, manakala Rosmah diwakili peguam Rajivan Nambiar dan Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak ketiga. #sinarharian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts