by Oh! Semput
Usaha meningkatkan kesedaran dan keterangkuman terhadap demensia terus diperkukuh menerusi kerjasama melibatkan AvantHealth dan Monash University Malaysia dalam penganjuran Grand Finale MINDSPARK bertemakan Igniting a Dementia-Inclusive Future.

Menurut penganjur program, Dr. Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, program tersebut berjaya meningkatkan tahap pengetahuan peserta mengenai demensia berdasarkan penilaian yang dijalankan sebelum dan selepas program.
Program tersebut menghimpunkan pelajar, ahli akademik, pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperluaskan pemahaman masyarakat mengenai demensia dan mewujudkan komuniti yang lebih inklusif terhadap individu yang hidup dengan penyakit itu.
Acara berkenaan merupakan kemuncak kepada kerjasama selama setahun antara AvantHealth dan Monash University Malaysia yang bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada April 2025, sebelum pelancaran rasmi pertandingan MINDSPARK pada Jun tahun lalu yang turut dihadiri Puan Nori Abdullah.
Melalui inisiatif itu, pasukan pelajar diberi peluang merangka dan melaksanakan projek komuniti berkaitan demensia dengan dana permulaan sebanyak RM6,000 yang disediakan oleh AvantHealth.
Sementara itu, Ketua Pegawai Saintifik AvantHealth, Professor Emeritus Yuen Kah Hay berkata, jumlah penghidap demensia di Malaysia menunjukkan peningkatan setiap tahun dan kes paling muda yang direkodkan melibatkan individu berusia 16 tahun.
Kemuncak acara menyaksikan pembentangan oleh tiga pasukan finalis yang berkongsi impak serta hasil pelaksanaan projek masing-masing sepanjang tempoh enam bulan.
Projek yang diketengahkan memberi fokus kepada peningkatan kesedaran mengenai demensia, pengukuhan keterangkuman sosial, sokongan kepada penjaga pesakit (caregiver) serta penglibatan komuniti.
Setiap pasukan mempamerkan kreativiti dan komitmen tinggi dalam membangunkan penyelesaian mampan yang diterajui golongan muda bagi mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif terhadap individu yang hidup dengan demensia.

Selepas sesi penilaian akhir, pasukan Synap5e of Memory yang diketuai oleh Lee Kah Yee dinobatkan sebagai Juara MINDSPARK dan menerima dana pembangunan bernilai RM10,000 untuk memperluaskan inisiatif mereka dalam komuniti.
Mengulas kemenangan itu, Lee berkata idea projek mereka tercetus selepas diperkenalkan kepada konsep Memory Café ketika menghadiri program berkaitan demensia di Universiti Malaya.
Menurutnya, antara cadangan utama pasukan itu adalah mengubah sebuah kafe biasa menjadi Memory Café, iaitu ruang yang bukan sahaja menawarkan makanan dan minuman, malah membuka peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan individu yang hidup dengan demensia.

Selain itu, penganjur program iaitu Dr. Fung Wai Yee, Dr. Wang Leong Seng dan Dr. Dinesh Sangarran Ramachandram, yang juga merupakan penerima Anugerah Merdeka, merakamkan penghargaan kerada semua juri, mentor, rakan keriasama, pejuang kesihatan, institusi pendidikan dan penyokong yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini.
Mereka turut menegaskan bahawa MINDSPARK memperkukuhkan usaha berterusan yang selari dengan Pelan Tindakan Demensia Nasional Malaysia.
Melalui inisiatif MINDSPARK yang berada di bawah gerakan lebih besar, AvantMind Matters, AvantHealth terus komited memperkasa kesedaran mengenai kesihatan otak, memperkukuh komuniti serta menggalakkan perbincangan lebih proaktif berkaitan pencegahan dan keterangkuman demensia dalam masyarakat.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Penaung Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia, Puan Sri Wendy Ong, Tan Sri Hasmah Abdullah, serta Ketua Pegawai Operasi AvantHealth, Eric Kiu bersama wakil-wakil organisasi rakan komuniti.