by Oh! Semput
Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok pada Isnin atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengalami kecederaan parah dalam kejadian di sebuah chalet, awal tahun ini.
Tertuduh, Mohammad Shuhaili Shuib, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova secara cuai sehingga melanggar Nur Afia Raisha Muhamad Shamsul pada kira-kira jam 10.45 pagi, 3 Januari lalu di kawasan parkir sebuah chalet di Bachok.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM5,000, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan pembantu bomba dengan pendapatan bersih sekitar RM2,000 sebulan selain menanggung isteri, empat orang anak serta kedua-dua ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan wang jaminan.
Dalam kejadian yang berlaku semasa Program Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk pada bahagian abdomen serta patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk, sebelum menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kepada seorang anggota bomba wanita yang bertugas di Pahang. Kes kini akan diteruskan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.
Anggota Bomba Didakwa Cuai Langgar Kanak-Kanak Perempuan Hingga Cedera Parah first appeared on #1 The News Malaysia.