by Oh! Semput
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda agar mendalami sejarah perjuangan negara serta menghayati makna sebenar kemerdekaan yang dinikmati Malaysia hari ini hasil pengorbanan besar pejuang terdahulu.
Beliau berkata, kebebasan yang dikecapi negara tidak hadir dengan mudah, sebaliknya dibina melalui perjuangan yang menuntut pengorbanan darah, keringat dan air mata. Justeru, rakyat khususnya golongan muda perlu menghargai nikmat keamanan dan kemakmuran yang diwarisi agar semangat patriotisme terus subur dalam jiwa setiap warga Malaysia.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026), sambil menjelaskan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara mengibarkan Jalur Gemilang, malah menjadi platform untuk mengimbau sejarah, menyemai rasa cinta kepada negara serta memperkukuh iltizam membina masa depan yang lebih cemerlang.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan perpaduan yang menjadi asas kekuatan Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan. Menurutnya, keharmonian yang terjalin antara masyarakat Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan pelbagai kaum lain merupakan aset terbesar negara yang perlu dipelihara daripada sebarang unsur yang boleh mencetuskan perpecahan.
Beliau turut menggesa rakyat menghayati semula cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Katanya, prinsip tersebut masih relevan kerana kemajuan sesebuah negara hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu, saling menghormati perbezaan agama, budaya, kaum dan wilayah.
Sebagai simbolik pelancaran, Perdana Menteri menyerahkan Jalur Gemilang bersaiz enam kali 12 kaki kepada sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk upacara menaikkan bendera kebangsaan. Majlis yang menghimpunkan kira-kira 3,000 tetamu itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan Ikrar Rukun Negara, persembahan medley lagu-lagu patriotik serta sesi mengibarkan Jalur Gemilang bersama para hadirin.
Pada majlis sama, lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertajuk “Aku Berjanji”, ciptaan dan nyanyian Faizal Tahir, turut diperkenalkan sebagai lagu rasmi sambutan bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini.
PM Anwar Ajak Generasi Muda Hayati Sejarah, Hargai Erti Kemerdekaan first appeared on #1 The News Malaysia.