by Oh! Semput
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan rakyat Israel ke negara ini meskipun menerima bantahan daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan, Malaysia ialah sebuah negara merdeka dan berdaulat yang mempunyai hak menentukan dasar sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

Terdahulu, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Malaysia yang mahu mengusir segera rakyat Israel berada di negara ini.
Mereka terdiri daripada Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pendirian Malaysia adalah berasas terutama berkaitan isu kemanusiaan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Beliau turut menyatakan isu tersebut tidak sepatutnya menjejaskan hubungan Malaysia dengan AS yang sudah lama terjalin.

Perkara tersebut dinyatakan beliau kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, hari ini.
: Berita Harian (Fareez Azman)