by Oh! Semput
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar segala isu berbangkit yang melibatkan warga FELDA diselesaikan dengan segera, khususnya berkaitan perumahan generasi kedua dan pemilikan tanah peneroka yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Dalam pertemuan bersama barisan pengurusan FELDA di Putrajaya, beliau menegaskan bahawa setiap permasalahan yang dihadapi peneroka tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan.
Menurut Anwar, setiap isu perlu diteliti secara menyeluruh sebelum disusuli dengan pelan tindakan yang jelas dan praktikal bagi memastikan kebajikan warga FELDA terus terpelihara, di samping menjamin masa depan generasi peneroka.
Beliau berkata, penyelesaian yang dilaksanakan mestilah berpaksikan kepentingan peneroka serta mengambil kira keperluan generasi kedua yang masih berdepan cabaran memiliki kediaman dan menyelesaikan urusan berkaitan hak milik tanah.
Pada masa sama, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh institusi FELDA melalui usaha meningkatkan kecekapan pengurusan, memulihkan keyakinan warga peneroka terhadap pentadbiran agensi itu serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada peneroka dan keluarga mereka.
Beliau turut menekankan bahawa FELDA perlu terus bergerak ke hadapan sebagai institusi yang kukuh dan berdaya saing, sekali gus menamatkan pelbagai isu berpanjangan yang telah membelenggu masyarakat peneroka selama ini melalui penyelesaian yang mampan dan berkesan.
PM Anwar Tekankan Penyelesaian Segera Isu FELDA first appeared on #1 The News Malaysia.