by Oh! Semput
Polis menahan 10 remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar dipukul secara berkumpulan ketika dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat, dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kesemua suspek tempatan berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang semalam menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama anggota Balai Polis Bombalai.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berusia 14 tahun bersama tiga rakannya sedang melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar sebelum mereka didatangi sekumpulan remaja yang bertanyakan lokasi dua individu lain.
Bagaimanapun, selepas mangsa memaklumkan tidak mengetahui keberadaan individu yang dicari, kumpulan terbabit dipercayai bertindak menyerang dan memukul mangsa secara beramai-ramai.
“Tiga lagi rakan mangsa yang berada di lokasi turut dipercayai menjadi sasaran serangan sehingga mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk, manakala tiga rakannya turut cedera sebelum tampil membuat laporan polis.
Bertindak atas maklumat yang diterima serta hasil siasatan lanjut, polis berjaya mengesan dan menahan kesemua suspek bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, sementara siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta sama ada terdapat individu lain yang terlibat.
Wilynton menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk keganasan membabitkan pelajar dan remaja serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, selain menggalakkan pihak sekolah dan masyarakat terus bekerjasama dengan polis bagi membendung gejala keganasan dalam kalangan remaja.
Kes itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi hampir dua minit memaparkan kejadian tersebut tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan pelajar dan peningkatan insiden pergaduhan melibatkan golongan remaja.
Polis Tahan 10 Remaja Disyaki Terbabit Pukul Pelajar di Merotai Besar first appeared on #1 The News Malaysia.