by Oh! Semput
Apple hari ini memperkenalkan dua cip baharu untuk Mac, iaitu M6 dan M5 Ultra, dengan kedua-duanya membawa peningkatan besar dari segi prestasi serta keupayaan pemprosesan kecerdasan buatan (AI) pada peranti.
M6 diperkenalkan dalam Mac mini baharu, manakala M5 Ultra digunakan pada Mac Studio baharu. Menurut Apple, M6 merupakan cip 2nm pertama syarikat itu, sementara M5 Ultra menjadi cip siri-M paling berkuasa yang pernah dihasilkannya.

M6 dibina menggunakan proses 2nm, yang menawarkan ketumpatan transistor lebih tinggi dalam die yang lebih kecil. Menurut Apple, reka bentuk ini membantu meningkatkan prestasi serta kecekapan penggunaan kuasa.
Cip ini mempunyai 12-teras CPU yang terdiri daripada dua “super core”, empat teras prestasi dan enam teras kecekapan, yang menawarkan prestasi multibebenang sehingga 1.2 kali lebih pantas berbanding M5 dan sehingga 2.4 kali lebih pantas berbanding M1.
M6 turut dilengkapi 12-teras GPU, iaitu dua teras lebih banyak berbanding M5, dengan setiap teras mempunyai Neural Accelerator. Menurut Apple, reka bentuk ini memberikan peningkatan hampir 30% dalam keupayaan maksimum GPU untuk pengkomputeran AI berbanding M5, selain membolehkan pemprosesan prompt yang lebih pantas ketika menggunakan LLM pada peranti.

Untuk pemprosesan AI, M6 memperkenalkan Dual Neural Engine 16-teras yang menurut Apple menawarkan sehingga dua kali ganda keupayaan pengkomputeran maksimum berbanding generasi sebelumnya. Rangka kerja sistem juga boleh menggunakan kedua-dua Neural Engine itu secara automatik dan serentak, membolehkan aplikasi melaksanakan model dengan lebih pantas.
M6 menyokong sehingga 32GB unified memory, serta menawarkan lebar jalur memori sehingga 170GB/s.
Dari segi grafik, M6 turut membawa kemas kini pada seni bina shader core, Dynamic Caching dan hardware-accelerated ray tracing. Apple turut menyatakan M6 mempunyai kadar geometri 50% lebih tinggi untuk grafik kompleks.
Cip ini menggunakan teknologi UltraFusion untuk menghubungkan dua cip M5 Max dual-die bagi membentuk seni bina quad-die, yang merupakan kali pertama digunakan pada cip Apple. Apple berkata teknologi itu meningkatkan lebar jalur antara die kepada lebih 4.4TB/s serta kepadatan sambungan lebih enam kali ganda. Sambungan berlebar jalur tinggi dan kependaman rendah (ultra-low-latency) ini membolehkan keempat-empat die berfungsi sebagai satu pemproses bersatu.
M5 Ultra hadir dengan CPU sehingga 36-teras yang terdiri daripada 12 “super core” dan 24 teras prestasi, manakala GPU pula mempunyai sehingga 80-teras. Setiap teras GPU dilengkapi Neural Accelerator. Apple menyatakan GPU itu menawarkan sehingga 4.5 kali ganda keupayaan pengkomputeran maksimum untuk AI berbanding M3 Ultra dan lebih enam kali ganda berbanding M1 Ultra.

Dari segi grafik, GPU M5 Ultra turut menggunakan shader core terbaharu Apple, Dynamic Caching generasi kedua, hardware-accelerated mesh shading serta ray tracing generasi ketiga. Apple menyatakan gabungan teknologi tersebut memberikan prestasi grafik sehingga 40% lebih pantas berbanding M3 Ultra.

M5 Ultra turut menyokong sehingga 512GB unified memory dengan lebar jalur memori sehingga 1.2TB/s, iaitu 50% lebih tinggi berbanding M3 Ultra. Cip ini turut dilengkapi Neural Engine 32-teras untuk mengendalikan tugasan AI yang kompleks dan ciri Apple Intelligence secara terus pada peranti.
{suggest}
Apple Perkenal M6 Sebagai Cip 2nm Pertama, M5 Ultra Hadir Dengan GPU Sehingga 80-Teras WISER.MY.