by Oh! Semput
Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Mohd Hassan Marican memberi amaran bahawa gangguan terhadap bekalan tenaga dan petrokimia berpotensi memberi kesan besar kepada pelbagai sektor penting termasuk makanan, perubatan dan pembuatan.
Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan risiko dihadapi negara ketika ini bukan hanya melibatkan gangguan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya kemungkinan beberapa tekanan berlaku serentak merangkumi tenaga, logistik, rantaian bekalan industri dan ekonomi secara keseluruhan.

Foto: Mohd Hassan Marican
Mohd Hassan juga memaklumkan, keselamatan tenaga perlu terus menjadi keutamaan kerana gangguan terhadap bekalan bahan api dan bahan mentah petrokimia boleh memberi kesan pantas kepada sektor pengangkutan, pembuatan, pertanian, pembinaan serta barangan pengguna.
Beliau menjelaskan bahawa bekalan perubatan, pembungkusan makanan dan baja pertanian mempunyai hubungan langsung dengan industri petrokimia, sekali gus menjadikan sektor-sektor tersebut terdedah sekiranya berlaku gangguan bekalan.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan melalui MTEN sedang memantau situasi tersebut dengan teliti selain bekerjasama dengan pihak industri bagi mengurangkan risiko dan memastikan bekalan kritikal terus tersedia.
Mohd Hassan memaklumkan empat kelemahan utama yang memerlukan perhatian berterusan ialah keselamatan makanan, rantaian bekalan perubatan dan farmaseutikal, logistik serta daya tahan penghantaran, selain cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau menambah ketegangan geopolitik dan risiko berkaitan iklim turut menyumbang kepada peningkatan kos penghantaran serta insurans yang akhirnya memberi tekanan kepada perniagaan dan pengguna.

Sehubungan itu, Mohd Hassan menegaskan Malaysia perlu terus memperkukuh penampan negara bukan sahaja bagi bahan api, malah melibatkan makanan, bekalan perubatan, input industri dan kapasiti logistik.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah sokongan kepada PKS termasuk pakej intervensi RM15 bilion, kemudahan pembiayaan mikro dan bantuan meningkatkan keupayaan operasi bagi memastikan sektor tersebut terus berdaya tahan.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan bertujuan memastikan PKS mempunyai akses berterusan kepada pembiayaan serta mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi semasa.
