by Oh! Semput
MR D.I.Y. Malaysia terus menghargai kesetiaan pelanggannya apabila melancarkan MR.DIY Club, program kesetiaan pertama jenama itu yang direka khas untuk memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia menerusi pembelian harian mereka.
Lebih menarik, program ini memperkenalkan ciri Akaun Keluarga yang membolehkan sehingga lima ahli keluarga menghubungkan keahlian masing-masing dan mengumpulkan mata ganjaran di bawah satu akaun.

Program yang ditawarkan secara percuma ini membolehkan ahli memperoleh mata ganjaran bagi setiap pembelian, menebus baucar tunai, menikmati ganjaran hari lahir serta menyertai pelbagai acara dan bengkel eksklusif.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh menyatakan, program berkenaan diwujudkan sebagai tanda penghargaan kepada jutaan rakyat Malaysia yang terus memilih MR D.I.Y. sebagai destinasi membeli-belah keperluan harian.
“Selama lebih 20 tahun, rakyat Malaysia datang ke MR D.I.Y. untuk mendapatkan keperluan mereka – sama ada bekalan bateri yang mendesak, bahan untuk projek sekolah, alatan untuk kerja pembaikan rumah, atau barang keperluan harian isi rumah.
“Ramai pelanggan kami membeli-belah bersama kami sebagai keluarga, justeru kami mahu mewujudkan satu program yang memberi ganjaran bukan sahaja kepada pembeli individu, tetapi seluruh isi rumah.
“MR.DIY Club membolehkan keluarga mengumpul mata ganjaran bersama, menikmati nilai yang lebih baik, serta berkongsi pengalaman melangkaui urusan pembelian di kaunter.
“Ini merupakan cara kami menghargai sokongan pelanggan yang terus berkembang bersama kami, sambil memberikan lebih banyak sebab untuk mereka kembali membeli-belah dengan kami,” katanya.
Menerusi MR.DIY Club, ahli akan menerima satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan, manakala ahli baharu akan menikmati ganjaran alu-aluan sebanyak 400 mata serta lima kali ganda mata ganjaran sepanjang bulan kelahiran mereka.
Selain itu, setiap RM20 perbelanjaan melayakkan ahli memperoleh satu “Bag” yang boleh digunakan untuk menyertai acara dan bengkel eksklusif.
Dalam masa sama, MR D.I.Y. turut melantik pasangan selebriti Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin atau lebih dikenali sebagai SamTilla sebagai duta rasmi MR.DIY Club kerana imej kekeluargaan yang dekat di hati masyarakat.

Bagi meraikan pelancarannya, MR D.I.Y. menganjurkan siri jelajah MR.DIY Club di Mid Valley Megamall dan MyTOWN Shopping Centre sehingga 26 Julai 2026.
Pengunjung yang memuat turun aplikasi dan mendaftar sebagai ahli sepanjang tempoh tersebut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti serta memenangi barangan eksklusif, selain bertemu SamTilla dalam sesi khas bersama peminat pada 25 Julai di MyTOWN Shopping Centre.