by Oh! Semput
KUANTAN: Dua wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Besar Jengka 19, berhampiran sebuah kolam pancing di Jengka pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa yang maut dipercayai dua beradik berusia 19 dan 23 tahun.
Menurutnya, pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.47 petang.
“Bertindak atas panggilan yang diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
“Ketika anggota tiba, didapati kedua-dua mangsa tersepit di dalam MPV jenis Toyota Unser yang terbalik dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, mangsa yang berada di dalam kereta jenis Perodua Axia tidak dapat dikenal pasti kerana telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan yang terbalik dengan menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. #sinarharian