by Oh! Semput
DAP Melaka menegaskan perbezaan fahaman politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melabel mana-mana rakyat Malaysia sebagai ‘pendatang’.
Menerusi hantaran Ahli Parlimen Kota Melaka merangkap Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, beliau menyatakan usaha seseorang menjejaki asal usul keluarga bukan bermaksud mereka tidak setia kepada negara, sebaliknya bagi mengenali sejarah keluarga serta menghormati warisan nenek moyang.
Menurutnya, walaupun rakyat Malaysia mempunyai latar belakang keturunan yang berbeza, mereka tetap dilahirkan, dibesarkan dan membina kehidupan di negara ini.
Khoo berkata, identiti semua rakyat negara ini tetap jelas sebagai rakyat Malaysia dan hak memilih mana-mana parti politik merupakan hak demokrasi yang perlu dihormati.
Justeru, beliau menyifatkan sebarang kenyataan yang melabel warganegara sebagai ‘pendatang’ hanya kerana tidak menyokong sesebuah parti politik sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia yang kini menghampiri usia 70 tahun kemerdekaan dibina hasil usaha serta pengorbanan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama. Menurutnya, semangat perpaduan perlu terus dipertahankan tanpa mengira perbezaan politik.

: Facebook Khoo Poay Tiong