by Oh! Semput
Malaysia memerlukan satu dasar yang lebih jelas dan tersusun bagi membantu anggota tentera beralih ke sektor industri selepas menamatkan perkhidmatan, kata Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Kdr Khairil Hariss Khairuddin TLDM (Bersara).
Menurut beliau, isu melibatkan veteran tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu kebajikan, sebaliknya perlu ditangani dari sudut pengurusan sumber manusia bagi memastikan kemahiran yang dimiliki mereka terus dimanfaatkan.

Beliau berkata, banyak negara maju telah mempunyai sistem transisi yang berkesan dan Malaysia hanya perlu menyesuaikannya mengikut keperluan tempatan.
Khairil Hariss berkata, antara cabaran utama ketika ini ialah tanggapan masyarakat terhadap golongan veteran yang masih kurang tepat.
Beliau menjelaskan ramai masih mengaitkan veteran dengan warga emas, sedangkan hakikatnya sebahagian besar daripada mereka masih berada dalam usia produktif dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

Foto: FB Hariss Ruddin
Beliau berkata, daripada lebih 300,000 veteran ATM di seluruh negara, hampir 70 peratus berusia antara 30 hingga 59 tahun.
Mengulas realiti yang dihadapi bekas anggota TLDM selepas bersara, Khairil Hariss berkata ramai berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran dimiliki.
Beliau mengibaratkan situasi itu seperti “ikan disuruh panjat pokok”, apabila anggota yang berpengalaman luas dalam bidang maritim akhirnya terpaksa mencari pekerjaan yang langsung tidak berkaitan dengan kepakaran mereka.
Menurut beliau, industri sepatutnya melihat veteran sebagai aset kerana mereka bukan sahaja memiliki pengalaman teknikal, malah mempunyai disiplin tinggi, kesetiaan serta mampu bekerja dalam situasi mencabar.

Foto: FB Hariss Ruddin
Beliau turut berpandangan kemahiran yang dimiliki anggota tentera perlu diberikan pengiktirafan industri supaya mereka boleh terus diserap ke dalam pasaran pekerjaan sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan.
Katanya, kursus-kursus yang ditawarkan kepada bakal pesara juga perlu lebih menjurus kepada pensijilan industri berbanding melatih mereka dalam bidang yang langsung berbeza daripada kepakaran asal.
Beliau berkata, negara seperti United Kingdom (UK) telah lama mengiktiraf kemahiran anggota tentera melalui pensijilan industri, sekali gus membolehkan mereka terus bekerja selepas bersara.

Foto: FB Hariss Ruddin
Sehubungan itu, Khairil Hariss mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada syarikat yang mengambil veteran sebagai pekerja, selain mewujudkan dasar khusus bagi mengiktiraf kemahiran mereka.

Foto arkib: FB Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Beliau berkata, kerjasama antara Kementerian Pertahanan, Kementerian Manusia dan Kementerian Pendidikan Tinggi amat penting bagi membentuk dasar yang membolehkan kemahiran anggota tentera diiktiraf secara rasmi oleh industri.