Cerebras, “Pencabar” Nvidia Dalam Dunia Cip AI, Kini Sasarkan Eropah

by Oh! Semput


3
SHARES
44
VIEWS
Posted on 09 Jul 2026 11:00:26

Dunia cip AI sering dilihat sebagai medan milik Nvidia seorang. Tapi startup cip AI dari California, Cerebras, kini bergerak agresif untuk ubah persepsi itu dengan mengumumkan rancangan memperluas kapasiti pemprosesan di Eropah sebagai sebahagian daripada strategi mencabar dominasi gergasi tersebut.

Dah Ada Tiga Pusat Data, Sasar 200 Megawatt

Cerebras kini beroperasi tiga pusat data berteknologi cip mereka sendiri di Perancis, Finland dan Norway, dengan sasaran mencapai 200 megawatt kuasa pemprosesan menjelang tahun depan. Menurut CEO Cerebras, Andrew Feldman, ekspansi ini melibatkan pelaburan bernilai berbilion dolar.

Feldman turut menjelaskan bahawa strategi meletakkan pusat data di seluruh Eropah adalah untuk memenuhi keperluan khusus rantau itu, terutamanya isu sensitif seperti kawalan data. Ini penting memandangkan ketegangan hubungan Amerika-Eropah menyebabkan banyak kerajaan dan syarikat lebih berhati-hati untuk bergantung sepenuhnya kepada penyedia teknologi Amerika Syarikat.

Permintaan Yang Melebihi Jangkaan

Sama seperti di Amerika, permintaan terhadap kuasa komputer generative AI di Eropah turut berkembang pesat. Feldman menyifatkan pertumbuhan sektor ini sebagai begitu laju sehingga sukar bagi syarikat untuk mengimbanginya.

Ditubuhkan pada 2015, Cerebras memfokuskan operasi kepada cip untuk proses “inference” , iaitu proses model AI menjana jawapan kepada soalan harian pengguna. Ini berbeza dengan proses “training” yang jauh lebih kompleks dan intensif dalam membina sistem AI baharu.

Peningkatan penggunaan ejen AI yang boleh menjalankan tugasan secara autonomi turut menyebabkan permintaan terhadap cip khusus inference melonjak. Perkembangan ini menuntut lebih banyak sumber pengkomputeran daripada segelintir syarikat termasuk Cerebras, Nvidia dan AMD.

Momentum ini turut menyumbang kepada penyenaraian awam Cerebras di bursa saham Amerika Syarikat pada Mei lalu, dengan nilai USD5.5 bilion — antara 15 IPO terbesar dalam sejarah Wall Street.

Cip Sebesar Pinggan Makan

Kelainan Cerebras terletak pada teknologi “wafer-scale system”, iaitu cip berskala besar berbanding cip konvensional. Jika cip biasa hanya sebesar setem, cip Cerebras pula direka sebesar pinggan makan. Menurut Feldman, cip yang lebih besar mampu memproses maklumat dengan lebih pantas, bermakna respons AI kepada pengguna turut menjadi lebih cepat.

Penggunaan cip berskala besar ini juga membantu mengurangkan kelewatan dan ralat yang biasa berlaku apabila pelbagai cip kecil perlu disambungkan antara satu sama lain.

Klien Besar Dan Kontrak Bernilai Berbilion Dolar

Dengan kira-kira 900 pekerja dan nilai pasaran USD40 bilion, Cerebras turut mempunyai senarai klien Eropah yang tidak boleh dipandang ringan, termasuk syarikat farmaseutikal British, GSK, serta beberapa pusat data berprestasi tinggi di Scotland dan Jerman.

Pada suku pertama tahun ini, Cerebras berjaya menandatangani kontrak besar dengan OpenAI, dianggarkan bernilai lebih USD20 bilion, bagi menyediakan kuasa komputer sehingga sekurang-kurangnya 2028. Syarikat ini turut menjalin kerjasama terbaharu dengan Amazon Web Services (AWS).

“Ini Bukan Gelembung” — Kata CEO Cerebras

Kebimbangan sektor AI sedang mengalami fenomena “gelembung” (bubble) semakin meningkat berikutan jumlah pelaburan yang kian membesar. Namun Feldman tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Menurutnya, dalam gelembung yang biasa berlaku, syarikat membina produk dengan harapan pelanggan akan datang. Situasi sekarang adalah sebaliknya di mana permintaan pelanggan yang mendahului bekalan yang sedia ada.

Bagi Feldman, perkembangan ini menandakan permulaan kepada manfaat sebenar teknologi AI yang bakal dilihat secara lebih meluas. – AFP

{suggest}

Cerebras, “Pencabar” Nvidia Dalam Dunia Cip AI, Kini Sasarkan Eropah WISER.MY.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts