by Oh! Semput

Seville, Sepanyol: Sevilla bengang terhadap pengadil England, Mark Clattenburg selepas Juventus bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 di Sepanyol sekali gus memastikan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Tuan rumah bermula sempurna menerusi gol pembukaan Nico Pareja pada minit kesembilan namun beraksi dengan 10 pemain selepas hanya 36 minit apabila Franco Vazquez dilayangkan kad kuning kedua oleh Clattenburg.
Sepakan penalti kontroversi yang disempurnakan Claudio Marchisio menyusul dan jurulatih Sevilla, Jorge Sampaoli turut dihantar ke bangku penonton sebelum dua gol dalam enam minit terakhir daripada Leonardo Bonucci dan Mario Mandzukic memastikan kemaraan kelab juara Itali itu.
Kekalahan pertama Sevilla dalam Kumpulan H bermakna mereka mesti mengelak kalah dengan jurang dua gol di Lyon dua minggu lagi bagi memastikan tiket ke peringkat kalah mati.
“Apabila mereka beraksi 10 pemain, mereka menutup setiap inci ruang dan kami melakukan beberapa kesilapan. Mujurlah kaki kiri saya menjadi penyelamat,” kata Bonucci.
“Kami meraikan kejayaan ini kerana kami mencapai sasaran pertama, tapi kini banyak lagi yang perlu dicapai.”
Bagaimanapun, pemain sayap Sevilla, Vitolo mendakwa Clattenburg mengubah perlawanan.
“Hari ini dua keputusan pengadil menjejaskan tumpuan kami,” ujar pemain kebangsaan Sepanyol itu. – AFP
Category: Sukan