by Oh! Semput
Kira-kira 1,000 liter asid hidroklorik tertumpah selepas sebuah lori tangki yang membawa hampir 25 tan bahan kimia itu terbalik di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Jambatan Kampung Cherating, pagi Sabtu.
Kejadian yang dilaporkan sekitar jam 7.30 pagi itu menyebabkan pasukan bomba melaksanakan langkah kawalan segera termasuk membina penghalang air bagi menghalang penyebaran wap asid ke laluan utama jalan raya dan kawasan sekitarnya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan kebocoran pada bahagian penutup atas tangki sehingga sebahagian muatan asid hidroklorik mengalir keluar.
Menurut beliau, cecair berbahaya itu turut mengalir ke kawasan paya bakau berhampiran lokasi kejadian, sekali gus memerlukan tindakan pantas bagi mengelakkan risiko pencemaran yang lebih serius.
“Lori tangki itu sedang dalam perjalanan menghantar muatan asid hidroklorik dari Pasir Gudang, Johor ke Kemaman, Terengganu sebelum terlibat dalam kemalangan.
“Pemandu lori mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai tersebut sebaik menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi pada jam 8.03 pagi, pemeriksaan awal mendapati berlaku kebocoran pada tangki dan operasi segera dilaksanakan bagi mengawal keadaan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
Selain membina penghalang air bagi mengurangkan penyebaran wap asid, pihak bomba turut menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta syarikat yang mengendalikan bahan kimia berkenaan untuk tindakan lanjut.
Menurut Mohd Salahuddin, sehingga tengah hari operasi masih diteruskan dengan kerja-kerja memindahkan baki asid daripada lori yang terbalik ke sebuah lori tangki gantian.
Operasi itu turut dibantu oleh anggota dan jentera tangki air dari BBP Kuantan bagi memastikan proses pemindahan dapat dilakukan dengan selamat dan terkawal.
Pihak berkuasa kini memantau keadaan di lokasi secara berterusan sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta menilai kesan tumpahan bahan kimia tersebut terhadap alam sekitar.
Lori Tangki Terbalik, 1,000 Liter Asid Hidroklorik Tumpah first appeared on #1 The News Malaysia.