Cuaca buruk, juruterbang, antara punca nahas helikopter di Batang Lupar

by Oh! Semput


7
SHARES
94
VIEWS
Posted on 05 Jun 2017 17:00:18

Anggota bomba dan penyelamat menemui serpihan bangkai helikopter Eurocopter AS350 yang terhempas di Batang Lupar, 6 Mei 2016. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 5 Jun — Punca nahas helikopter Eurocopter AS350 di Batang Lupar, berhampiran Sebuyau, Sarawak pada Mei tahun lepas adalah disebabkan keadaan cuaca buruk dan juruterbang yang tidak biasa dengan kawasan persekitaran, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai

Beliau berkata perkara itu dikemukakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dalam laporan akhir nahas helikopter itu, yang akan dimuat naik ke laman web Kementerian Pengangkutan (www.mot.gov.my) dalam masa terdekat.

Liow berkata laporan akhir yang telah dibentangkan di Kabinet pada bulan lepas  itu mendapati ketika kemalangan berlaku, helikopter berkenaan telah memasuki kawasan yang mengalami hujan lebat dan ribut.

“Kita buat siasatan dan dapati bahawa helikopter tersebut memasuki kawasan ribut dan ketika itu laporan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi juga menunjukkan kawasan kemalangan itu adalah kawasan hujan lebat.

Kemalangan tidak melibatkan masalah teknikal sebaliknya cuaca dan juruterbang. Kalau orang biasa dengan laluan tersebut mungkin mereka akan elak tetapi juruterbang itu daripada luar negara dan tidak fasih (biasa) dengan keadaan sini, jadi juruterbang ikut GPS (sistem kedudukan global) dan itu kemungkinan kemalangan berlaku,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Sejarah Penubuhan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak di sini, hari ini.

Liow berkata laporan akhir itu turut mengesyorkan mana-mana syarikat, individu atau agensi yang menggunakan juruterbang luar negara perlu melalui kursus khas penerbangan helikopter dalam negara sebelum dibenarkan menerbangkan pesawat.

“Kursus ini bagi juruterbang warga asing biasakan diri dengan suasana, cuaca dan keadaan sekeliling  kawasan di negara ini sebelum dibenarkan untuk menerbangkan mana-mana helikopter di negara ini,” katanya.

Pada 5 Mei tahun lepas pesawat malang itu terhempas di Batang Lupar dengan mengorbankan enam penumpang termasuk juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Menyentuh insiden sebuah pesawat ringan Piper PA28 yang terhempas di Lebuhraya Nusajaya Pulai, Johor, semalam, Liow berkata laporan awal siasatan akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan. — Bernama

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts