Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita selalu terbaca berita tentang penindasan dan ketidakadilan terhadap umat Islam di seluruh dunia.
Ini semua berpunca daripada segelintir manusia ekstrim tidak bertanggungjawab yang telah merosakkan tanggapan masyarakat seluruh dunia terhadap agama yang sepatutnya bertoleransi dan sangat indah ini. Inilah yang dikatakan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
Namun, dalam kekecohan yang melanda dunia, masih wujud pihak yang menerima Islam seadanya. Kami kongsikan 5 detik indah di mana manusia berlainan agama bertembung dalam suasana harmoni:
#1 Koir pelajar Muslim menyanyikan karol Krismas
Video ini menunjukkan lebih kurang 40 pelajar perempuan yang lengkap dengan hijab menyanyikan "Silent Night" dalam bahasa Arab kepada saudara-saudara Kristian di sebuah gereja di Beirut, Lebanon.
Pelajar-pelajar itu merupakan ahli kumpulan koir dari Yayasan Imam Sadr yang mempersembahkan nyanyian itu semasa Festival Nyanyian Beirut. Festival yang dianjurkan itu bertujuan untuk meraikan perbezaan dan kewujudan bersama komuniti di Lebanon.
Nyanyian pelajar Yayasan Imam Sadr yang mengiringi penyanyi terkenal Lebanon, Abeer Nehme ini membuktikan bahawa semua orang mampu hidup secara bertoleransi walaupun mempunyai pegangan hidup yang berbeza.
#2 Pertubuhan Hak Asasi Yahudi menyokong umat Islam
Semasa kempen pilihan raya presiden Amerika, Donald Trump telah berjanji untuk mewujudkan satu sistem pendaftaran khusus untuk mengesan pergerakan setiap orang Islam di negara itu. Ramai penyokong Trump berterusan memuji tindakannya dan menuntut agar inisiatif itu dijalankan.
Walau bagaimanapun, Jonathan Greenblatt, ketua pengarah Anti-Defamation League (ADL) yang merupakan seorang penganut agama Yahudi tegar berjanji untuk turut sama mendaftar sebagai Muslim sebagai tanda solidariti warga Amerika dan protes terhadap propaganda Trump.
Selain Jonathan yang mewakili organisasi itu, ramai lagi warga Amerika yang bersama menyokong umat Islam di sana. Sifat keakraban dan belas ihsan seperti inilah yang dialu-alukan walaupun berlainan pegangan agama.
#3 Keprihatinan gereja Kanada terhadap pelarian Syria
Lebih tiga dekad yang lalu, Bayan Khatib dan keluarganya diselamatkan oleh sebuah gereja di Toronto dengan penajaan tempat tinggal dan keperluan asas semasa mula-mula tiba di Kanada.
Kini, Bayan Khatib yang mewakili Persatuan Muslim Kanada menyatukan masjid dan kesatuan gereja di Toronto untuk bersama-sama membantu sebuah keluarga Syria di sana. Kedua-dua organisasi ini mewujudkan kempen fundraising untuk memastikan keluarga empat beranak itu mampu bertahan sepanjang tahun pertama di Kanada.
Menurut Bayan Khatib, kumpulan itu juga sedang berbincang dengan pihak Yahudi untuk mewujudkan satu lagi usahasama untuk membantu keluarga Syria yang lain.
#4 Restoran Muslim beri makanan percuma kepada gelandangan semasa perayaan Krismas
Cuti perayaan seperti Hari Raya dan Krismas bermakna anda dapat meluangkan masa bersama keluarga dan orang tersayang. Namun tidak semua orang bertuah memiliki rumah dan ahli keluarga untuk dikunjungi.
Seorang pemilik restoran yang beragama Islam di London membuka pintu restorannya kepada semua orang yang tidak mempunyai arah tuju semasa hari Krismas. Setiap gelandangan dan warga emas yang berkunjung akan diberikan hidangan tiga sajian secara percuma.
Perbuatan murni dan ikhlas seperti ini mampu mengurangkan insiden Islamophobia rentetan kisah "Brexit" di United Kingdom dan pengeboman yang banyak terjadi di sana.
#5 Program Interfaith Reach Out
Pada awal Mei 2017, seramai 10 orang alumni Youth Exchange and Study (YES) yang datang dari 9 buah negara berbeza dan mempunyai pegangan agama berlainan telah berkumpul di Washington D.C. untuk mengikuti program antara agama yang dianjurkan oleh AMIDEAST.
Selama tiga hari, kesemua peserta akan berkongsi idea, menjalankan pelbagai aktiviti dan duduk semeja bersama pemimpin-pemimpin agama dari komuniti setempat.
Mereka kemudian pulang ke negara masing-masing dengan harapan menjadikan dunia ini sebuah tempat untuk hidup secara aman dan harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama.
Walaupun kita dapat lihat banyak cerita yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membuatkan kita berang, kita juga menyaksikan banyak usaha dilakukan untuk merapatkan jurang antara agama dan kepercayaan. Usaha-usaha seperti ini amat bagus untuk memastikan kehidupan harmoni anak-anak kita pada masa hadapan.
Kita marah apabila orang lain melabelkan Islam sebagai pengganas, tapi ia sebenarnya merupakan perhubungan dua hala. Sekiranya kita berterusan menanamkan sifat bencikan agama dan kaum lain dalam jiwa anak-anak, bayangkanlah apa yang bakal terjadi 20 atau 30 tahun yang akan datang.
Adakah rasa benci dan tidak toleransi itu yang Islam dan Nabi Muhammad S.A.W anjurkan?
Adakah kita sememangnya sudah memupuk nilai-nilai murni ini dalam keluarga di rumah? Ataupun tanpa disedari, kita sudahpun mengajar anak-anak supaya menjadi pengganas?
Mari kita sama-sama renung dan fikir-fikirkan.













