by Oh! Semput
Jika anda sedang mencari sebuah komputer gaming kelas desktop dengan komponen-komponen yang berkuasa, dan mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli sebuah kereta, ASUS Malaysia baru-baru ini mengumumkan ketibaan komputer gaming desktop kelas kayangan terbaru mereka, ASUS ROG G1000 untuk pasaran tempatan.

Bermula dengan spesifikasi khusus komputer ini, ia hadir dengan gabungan kuasa pemprosesan AMD Ryzen 9 9950 X3D dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 dan menggunakan papan induk AMD X870 yang hadir dengan kemampuan lewah jam CPU yang cukup tinggi sekali. Papan induk ini hadir dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi7 dan juga Bluetooth 5.4.

Komponen-komponen ini hadir dengan gabungan memori dan storan DDR5 sebanyak 64GB (32GBx2) dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB. Komponen-komponen ini boleh ditambah dan dinaiktarafkan lagi dengan dua modul memori dan tiga lagi storan SSD M.2 2280 tambahan sekiranya anda memerlukannya dan mampu untuk membeli komponen memori dan storan tambahan.

Menghidupkan kesemua komponen-komponen ini adalah bekalan kuasa ASUS ROG 1000W dan dirumahkan didalam sebuah rangka komputer desktop bersaiz ATX dengan kapasiti 104L yang cukup besar sekali. Dalam pada itu, komponen CPU disejukkan dengan menggunakan penyejuk CPU cecair dengan radiator bersaiz 420mm.
ASUS ROG G1000 ini juga dilengkapi dengan papan kekunci dan tetikus ASUS ROG sebagai aksesori tambahan.

ASUS Malaysia telah menetapkan harga untuk komputer gaming desktop ASUS ROG G1000 dengan spesifikasi diatas pada harga RM32,999 dan boleh dibeli melalui ASUS Store Malaysia dan juga pengedar-pengedar komputer dan perkakasan ASUS tempatan.
Dalam pada itu, ASUS Malaysia turut mengatakan bahawa pembelian awal untuk komputer ini melalui ASUS Store Malaysia akan menerima sebuah paparan skrin ASUS ROG Strix OLED XG32UQWMS yang bernilai RM5650 secara percuma, selagi stok masih ada. Pembelian melalui ASUS Store Malaysia adalah terhad kepada satu unit sahaja untuk setiap pelanggan.