Google Mengumumkan Pelaburan RM61 Bilion Untuk Membangunkan Infrastruktur Pusat Data Baru Di Malaysia

by Oh! Semput


3
SHARES
35
VIEWS
Posted on 04 Nov 2026 10:30:48

Google baru sahaja mengumumkan pelaburan gergasi bernilai RM61 bilion (AS$15 bilion) untuk membangunkan dan memperbaiki infrastruktur bekalan air, tenaga elektrik dan kemampuan tenaga kerja tempatan untuk memperkasakan tiga buah pusat data baharu yang akan dibangunkan di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang, bermula dari 2027 ke 2028.

Salah satu daripada pusat data tersebut telahpun diumumkan pada minggu lepas, yang akan dibangunkan di Taman Perindustrian Springhil, Port Dickson, Negeri Sembilan. Untuk tujuan ini, Google juga telah mengumumkan pelaburan bernilai  $160 juta (~RM 651 juta) untuk infrastruktur air negeri tersebut bagi keperluan bukan sahaja pusat data tetapi bekalan air penduduk setempat.

Sehubungan dengan itu, Google mengatakan bahawa pengumuman pelaburan ini adalah pelan bersepadu syarikat tersebut yang merangkumi pembangunan kampus pusat data yang cekap tenaga di zon perindustrian serta kerjasama baharu untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, memperkukuh jaminan bekalan air tempatan dan menambah kapasiti tenaga bersih melebihi 1 gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.

Dua lagi lokasi pusat data Google sudahpun mula dibangunkan di Selangor, tetapi masih belum diumumkan secara rasmi atas faktor keselamatan.

Sebagai jaminan untuk ketahanan sumber air komuniti yang lebih kukuh, projek-projek baharu akan menyokong usaha penjagaan lembangan Sungai Buloh dan Sungai Selangor, serta mewujudkan empat pusat ketahanan air berasaskan sekolah. Setiap pusat mampu menyediakan bekalan air kecemasan untuk tempoh dua minggu bagi menampung keperluan air untuk sehingga 2,000 penduduk.

Kerjasama Google dengan TNB juga akan meneroka penggunaan tenaga lestari sepanjang masa. Google akan menanggung kos bagi penggunaan tenaga elektrik yang digunakan di kampus-kampusnya serta kos infrastruktur sambungan terus ke grid. Sebuah inisiatif komuniti juga dirancang untuk tahun 2027 bagi membantu mengurangkan bil elektrik isi rumah di negeri-negeri lokasi operasi tersebut.

Fasa pembinaan kampus baharu Google (2027 hingga 2028) dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setahun, dengan menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak AS$378 juta. Kira-kira 6,000 daripada pekerjaan ini dianggarkan dalam sektor pembinaan.

Google juga akan bekerjasama dengan rantaian bekalan domestik, termasuklah lebih 80 syarikat tempatan untuk membangunkan dan mengendalikan infrastruktur pusat data di negara ini. Kerjasama ini meliputi pembinaan dan kejuruteraan awam, infrastruktur rangkaian, komponen sistem kuasa dan penyejukan serta perkhidmatan seperti logistik, perundangan, katering dan pengurusan sisa.

Pembangunan tiga buah pusat data baharu di Malaysia ni bukan sahaja akan digunakan untuk untuk menjalankan aplikasi digital dan AI generasi baharu yang dibangunkan di Malaysia, tetapi juga untuk menyokong operasi perkhidmatan sedia ada Google seperti Search, Maps dan pelayar web Google Chrome yang digunakan oleh jutaan pengguna bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Pasifik.

Kapasiti pengkomputeran baru Google di Selangor akan menyokong rantau awanan Google Cloud di Malaysia yang bakal dilancarkan untuk pelanggan perusahaan, menyertai pusat data pertama Google di Elmina Business Park yang sudahpun mula beroperasi.

Google Cloud membolehkan organisasi seperti AEON360, AirAsia, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Gamuda, Hong Leong Bank, Maxis, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor, Kementerian Digital dan Kementerian Pendidikan Tinggi mempercepat penyampaian perkhidmatan mereka yang selamat, berprestasi tinggi dan berlatensi rendah.

Apabila ia mula beroperasi kelak, ia dijangka bahawa pusat-pusat data ini akan menjana 9000 pekerjaan tempatan baru dengan gaji yang diangggarkan 45 peratus lebih tinggi dari median gaji tempatan, menghasilkan banyak pekerjaan berpendapatan tinggi yang sedia direbut oleh rakyat Malaysia, termasuklah juruteknik pusat data, jurutera mekanikal, jurutera elektrikal, pengurus operasi logistik serta pengurus keselamatan fizikal.

Selain daripada menjawat pekerja untuk menggerakkan pusat-pusat data mereka, Google juga mengumumkan empat program baharu yang bertujuan meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang (2027-2031), dengan tumpuan kepada pendidik dan golongan muda, usahawan mikro, penjawat awam serta pencari kerja dalam bidang vokasional, bermula dengan komuniti di negeri yang menempatkan kampusnya:

  • Experience AI Malaysia: Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Penang Science Cluster dan Raspberry Pi Foundation untuk membantu meningkatkan literasi AI dalam bilik darjah di seluruh negara dengan memberikan pensijilan kepada pendidik bagi mengajar pelajar berumur 11 hingga 14 tahun setiap tahun. Melalui kurikulum yang menekankan pembelajaran secara amali, program ini akan melengkapkan pelajar dengan kemahiran berfikir secara kritis untuk mengarahkan penggunaan AI dalam penyelesaian masalah secara aktif serta menilai output dan respons yang dijana oleh AI.
  • Jelajah AI MSME: Kerjasama dengan Pepper Labs untuk membantu perniagaan di peringkat akar umbi membangunkan aset digital yang praktikal, seperti profil perniagaan dalam talian yang boleh ditemukan melalui carian dan kedai digital, bagi menjangkau pelanggan di luar kawasan kejiranan mereka. Berbekalkan pengalaman Pepper Labs dalam menyediakan latihan kemahiran digital dan AI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), program ini akan mengadakan klinik latihan amali untuk kumpulan perintis usahawan mikro di Selangor dan Negeri Sembilan sebelum diperluas bagi memberi manfaat kepada peserta di seluruh negara setiap tahun.
  • Anjakan Kemahiran AI Demi Rakyat (AKAD Rakyat): Kerjasama dengan Arus Academy untuk melengkapkan pegawai majlis dan anggota komuniti di kawasan pentadbiran masing-masing dengan kemahiran literasi AI serta alat produktiviti setiap tahun, dengan menyasarkan 19 pihak berkuasa tempatan di Selangor dan Negeri Sembilan. Program ini juga akan melantik peneraju khusus yang dikenali sebagai AI champions dalam pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk memodenkan aliran kerja, membantu petugas barisan hadapan mengautomasikan urusan dokumentasi rutin dan menyampaikan perkhidmatan awam yang lebih responsif.
  • Data Center Institutes (DCIs): Google merancang untuk menubuhkan institut penyelidikan pusat data ini di politeknik terpilih di Selangor dan Negeri Sembilan. Bermula pada 2027, inisiatif ini bertujuan melatih dan menempatkan pencari kerja tempatan berlatar belakang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam jawatan berkaitan pelaksanaan dan operasi pusat data. Inisiatif ini akan menawarkan kurikulum selama 10 minggu yang dikendalikan oleh pakar industri, termasuk latihan amali menggunakan simulator pusat data fizikal yang disediakan oleh Google, bagi mempersiapkan calon untuk bertugas di tapak kemudahan berskala hiper.

Ruth Porat, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Alphabet dan Google, berkata: “Google komited untuk mengembangkan kehadiran kami secara bertanggungjawab, sekali gus memberikan nilai berkekalan kepada ekonomi dan rakyat Malaysia. Pelaburan ini selaras dengan keutamaan pembangunan Malaysia, dengan menyediakan kapasiti pengkomputeran asas untuk membolehkan manfaat inovasi dinikmati di seluruh negara, di samping menambah sumber tenaga dan air tempatan seiring dengan peluasan operasi kami.”

YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital, berkata: “Pelan tindakan menyeluruh Google menetapkan penanda aras yang tinggi bagi pembangunan infrastruktur digital yang mampan dan berimpak tinggi di Malaysia. Berpandukan kerangka Malaysia MADANI dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030, matlamat kami adalah untuk memupuk ekosistem yang memperkukuh keupayaan teknologi Malaysia, melindungi sumber awam dan memperkasakan rakyat. Melalui komitmennya terhadap tenaga bersih dan daya tahan sumber air, di samping kerjasama erat dengan institusi dan perusahaan Malaysia, Google membantu memacu ekonomi digital bernilai tinggi yang membolehkan perniagaan, pekerja serta komuniti tempatan mendapat manfaat secara langsung daripada potensi transformatif AI dan inovasi digital.”

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts