by Oh! Semput
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan akan menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Ahad ini selepas hampir 35 tahun berbakti kepada pasukan keselamatan negara.
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan Ahad ini merupakan hari terakhirnya menyarung pakaian seragam PDRM selepas lebih tiga dekad menjalankan amanah sebagai pegawai polis.
“Insya-Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama polis,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku biografinya, From Pendang to Bukit Aman: The Integrity Journey of Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, hari ini.
Sepanjang kariernya, Ayob pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.
Mengulas perancangannya selepas bersara, beliau berkata antara impiannya adalah membuka sebuah restoran dan bergurau bahawa orang ramai mungkin akan melihatnya dalam penampilan yang berbeza.
“Nanti mungkin orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya.
Dalam masa sama, Ayob memaklumkan beliau mahu berehat terlebih dahulu walaupun sudah menerima beberapa tawaran selepas persaraan.
“Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi belum memikirkannya lagi. Insya-Allah, saya mahu berehat dahulu.
“Mungkin selepas ini akan ada sebuah lagi buku yang ditulis dengan lebih terperinci mengenai operasi-operasi yang pernah saya sertai dan boleh dikongsikan kepada masyarakat,” katanya.