by Oh! Semput
KUANTAN: Hasil royalti mineral Pahang meningkat kepada RM74.399 juta setakat 24 November tahun ini berbanding RM63.467 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu, dengan emas muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil royalti itu menunjukkan peningkatan lebih RM10.9 juta, sekali gus mencerminkan sumbangan sektor perlombongan terhadap pendapatan negeri.
Menurutnya, emas mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak RM48.009 juta, diikuti bijih besi (RM20.116 juta), bauksit (RM2.776 juta), bijih timah (RM1.293 juta) dan silika (RM1.540 juta).
Turut menyumbang ialah mangan sebanyak RM640,000, galena (RM14,700) dan kaolin (RM8,400).
“Bagi hasil daripada aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral merekodkan sebanyak RM92.441 juta pada 24 November tahun ini berbanding RM80.232 juta pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hasan Omar (PN-Lanchang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam usaha memastikan sumber mineral negeri tidak hanya bergantung kepada aktiviti pengeluaran bahan mentah, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah sektor berkenaan.
Wan Rosdy berkata, antara langkah diambil ialah meluluskan cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan di Gebeng dengan nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion.
Katanya, projek yang diluluskan tahun ini dijangka mula beroperasi pada 2027 dan berpotensi menyokong rantaian bekalan industri besi serta keluli.
Dalam industri emas pula, beliau berkata Pahang Gold Sdn Bhd, anak syarikat Pahang Mining Corporation, sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas bagi meningkatkan nilai tambah sumber emas tempatan. #MalaysiaGazette