KUANTAN: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching yang baru dilantik, Hasrul Afizan Mohd Din, mengakui berdepan cabaran besar untuk merampas semula kerusi itu daripada PAS pada PRU-16, susulan majoriti lebih 7,000 undi yang dimenangi penyandang.
Beliau berkata, pendekatan turun padang secara berterusan serta penggunaan media sosial, khususnya TikTok, akan menjadi strategi utama bagi mendekati pengundi, terutama golongan muda.
"Saya fikir pendekatan utama adalah kena banyak turun padang menyantuni dan berjumpa secara terus dengan penduduk, seberapa ramai yang kita boleh kerana ia lebih memberi kesan secara langsung.
"Dalam masa yang sama, saya lihat kepentingan platform media sosial seperti TikTok," katanya.
Hasrul yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Paya Besar berkata pengunaan media sosial adalah untuk memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai segala tuduhan dibuat pembangkang terhadap kerajaan Pahang.
“Saya percaya rakyat masih yakin dengan BN dan rakyat juga tahu, BN adalah parti yang paling terkedepan memberi bantuan setiap kali musibah melanda," jelasnya. #Malaysiakini
http://www.pahangdaily.blogspot.com